RUU gangguan seksual perlu lindungi pelajar

Tangkap layar video seorang pelajar perempuan yang mendedahkan mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor.
Tangkap layar video seorang pelajar perempuan yang mendedahkan mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor.
A
A
A

ISU beberapa pelajar mendedahkan amalan pemeriksaan 'datang bulan’ di sekolah dan diminta membuka pakaian dalam bagi membuktikan mereka sedang dalam haid dan tidak boleh berpuasa menjadi perbualan hangat rakyat Malaysia.

Belum reda dengan isu tersebut, timbul pula kes seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang mendedahkan mengenai jenaka rogol yang didakwa dibuat oleh seorang guru lelaki di sebuah sekolah di Kuala Selangor pada Jumaat lalu.

Ini menunjukkan bahawa dua insiden yang dilaporkan itu memang terdapat masalah dalam institusi pendidikan di negara ini.

Lebih menjengkelkan ada pihak mempertikai tentang dakwaan yang dibuat oleh pelajar terbabit, malah ada yang turut menyalahkan mereka terhadap kejadian yang berlaku.

Bagaimanapun, perkara itu telah menimbulkan kebimbangan kepada golongan ibu bapa terutama bagi mereka yang mempunyai anak perempuan.

Mereka merasakan bahawa pelajar perempuan lebih terancam dan perlu dilindungi, namun harus diingat bahawa tanggungjawab pihak sekolah melindungi semua pelajar dan tidak hanya melibatkan pelajar perempuan.

Namun jika kita rujuk laporan media pada Disember tahun lalu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay mendedahkan sebanyak 95 peratus pelaku jenayah dalam kalangan pelajar adalah lelaki, berbanding lima peratus pelajar perempuan.

Bagaimanapun, pelajar perempuan yang paling banyak menjadi mangsa iaitu 58 peratus, berbanding pelajar lelaki menunjukkan 42 peratus.

Artikel Berkaitan:

Kes paling tinggi ialah rogol, cederakan orang, curi motosikal dan lain-lain curi. Hampir 99 peratus pelaku jenayah dan mangsa dalam kalangan pelajar sekolah adalah berusia lingkungan umur 13 hingga 18 tahun iaitu di peringkat sekolah menengah.

Jika itulah gambaran yang berlaku di Johor, bagaimana pula dengan trend jenayah yang berlaku di negeri-negeri lain?

Ekoran daripada itu, timbul beberapa pandangan yang mahu supaya kerajaan meneruskan usaha untuk mempercepatkan pembentangan rang undang-undang (RUU) berkaitan gangguan seksual.

RUU itu khabarnya sudah digubal dan sepatutnya siap pada Mac lalu dan dijangka dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat akan datang.

Difahamkan rang undang-undang itu bersifat holistik dalam membendung isu berkaitan gangguan seksual yang tidak terhad terhadap gangguan di tempat kerja semata-mata.

Namun, persidangan Parlimen telah ditangguhkan susulan pengisytiharaan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada 12 Januari sehingga 1 Ogos tahun ini.

Oleh yang demikian, adalah amat baik jika Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) mengambil peluang dan kesempatan itu bagi menambah baik rang undang-undang tersebut dan diperluaskan kepada pelajar sekolah.

Untuk itu, pihak kementerian disarankan agar sama-sama berbincang dengan pihak yang berkepentingan bagi menambahbaik rang undang-undang berkenaan.

Selain kes-kes gangguan seksual di tempat kerja, sekolah juga perlu dijadikan sebagai tempat yang selamat untuk pelajar-pelajar.

Kita amat berharap KPWKM dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat bersama-sama untuk merealisasikan hasrat rakyat bagi memastikan RUU tersebut turut melindungi pelajar.