IHPR catat peningkatan tertinggi sejak empat tahun lalu

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

SHAH ALAM - Indeks Harga Pengeluar (IHPR) bagi bulan Mac mencatatkan sebanyak 6.7 peratus menjadikan ia sebagai peningkatan tertinggi sejak Ogos 2017.

Peningkatan itu lebih tinggi daripada yang dicatatkan pada bulan lalu iaitu sebanyak 2.7 peratus.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan tersebut didorong oleh kenaikan indeks perlombongan yang melonjak sebanyak 32 peratus berbanding negatif 11 peratus pada bulan sebelumnya.

“Pertumbuhan yang tinggi juga dicatatkan pada indeks pembuatan iaitu 2.2 peratus disebabkan oleh kenaikan harga komoditi petroleum dan pertanian.

"Sementara itu, indeks bekalan elektrik dan gas serta bekalan air masing-masing mencatatkan penurunan 1.4 peratus dan 0.1 peratus.

"Bagi perbandingan bulanan, IHPR pengeluaran tempatan mencatatkan peningkatan 0.7 peratus pada Mac 2021, berkurangan daripada 1.5 peratus pada Februari 2021,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Mohd Uzir, indeks pertanian, perhutanan dan perikanan mencatatkan sebanyak 2.3 peratus, perlombongan (1 peratus), bekalan elektrik dan gas (0.8 peratus) dan pembuatan (0.6 peratus) serta bekalan air (0.2 peratus).

Katanya, kenaikan indeks pertanian, perhutanan dan perikanan pula sebanyak 32.6 peratus, pembuatan (1.6 peratus) dan bekalan air (0.4 peratus) mengakibatkan kenaikan IHPR pengeluaran tempatan bagi suku tahun pertama 2021 sebanyak 3 peratus kepada 108.5 berbanding 105.3 pada suku yang sama pada tahun sebelumnya.

Artikel Berkaitan:

"Indeks perlombongan dan bekalan elektrik dan gas pula mencatatkan penurunan sebanyak 7.3 peratus dan 1.7 peratus," kata beliau.