Penganalisis data ditahan buat laporan palsu

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Seorang penganalisis data ditahan polis kerana didakwa membuat laporan palsu mengenai kehilangan keretanya semata-mata ingin menuntut wang insurans pada Isnin lepas.

Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 25 tahun itu dipercayai bertindak sedemikian kerana ingin mendapatkan wang daripada insurans berkenaan bagi mengadakan majlis perkahwinan.

"Suspek membuat laporan polis pada 20 April lepas kira-kira jam 9.30 malam berhubung kehilangan kereta jenis Subaru Forester di pekarangan parkir Lukut Prima di sini.

"Siasatan awal mendapati kereta berkenaan di parkir di kawasan itu sekitar jam 8 malam sebelum suspek pergi makan bersama rakannya dan apabila kembali semula suspek mendakwa kenderaannya telah hilang," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurutnya, bagaimanapun hasil siasatan mendapati suspek sengaja mengada-adakan cerita tentang kehilangan keretanya yang disimpan di suatu tempat lain dengan tujuan untuk mendapatkan tuntutan insurans ke atas kehilangan kenderaan.

"Suspek ditahan dan pihak polis berjaya menemukan semula kereta tersebut yang disorokkan di belakang bangunan sebuah pasar raya di Lukut.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya," katanya.

Katanya, pihak polis memandang serius perbuatan tidak bertanggungjawab itu dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana Individu yang masih berdegil membuat laporan palsu.

Artikel Berkaitan: