Amalan antara dua darjat tak masuk akal: AMK

Akmal Nasrullah Mohd Nasir. (Foto: FB Akmal Nasir)
Akmal Nasrullah Mohd Nasir. (Foto: FB Akmal Nasir)
A
A
A

JOHOR BAHRU - Amalan dua darjat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) sudah terlalu ketara dan semakin tidak masuk akal dengan penguatkuasaan yang didakwa tidak adil.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, ia secara tidak langsung menambahkan sengsara rakyat dalam berhadapan dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu kebelakangan ini.

"Tular berita seorang peniaga burger di Kota Bahru, Kelantan dikompaun sehingga RM50,000 kerana meniaga melebihi tempoh ditetapkan iaitu jam 10 malam walaupun di hadapan rumah sendiri.

"Sekiranya berlaku pelanggaran SOP (prosedur operasi standard) sekalipun, kompaun sehingga RM50,000 amat tidak masuk akal kepada rakyat marhaen yang hanya berniaga burger di hadapan rumah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook rasminya.

Menurutnya, ini agak berbeza bagi kes-kes melibatkan golongan ternama (VVIP) yang sering kedengaran kertas siasatan akan dibuka terlebih dahulu walaupun bukti bergambar dan video sudah terpampang jelas, manakala kes melibatkan rakyat marhaen pula akan terus dikompaun.

"Ini jelas merupakan suatu penganiayaan dan penindasan yang tidak sepatutnya mendapat tempat di Malaysia," katanya.

Ahli Parlimen Johor Bahru itu berkata, menteri atau Exco kerajaan negeri yang mempunyai kuasa dan terlibat secara langsung dalam penyediaan SOP ini diminta untuk lebih bertanggungjawab, selain digesa menyemak kembali segala SOP tersebut supaya penganiayaan sebegini tidak terus berlaku.

Katanya, penguat kuasa turut dinasihatkan agar memberi pertimbangan sebaiknya sebelum mengenakan sebarang kompaun kerana sekiranya kes sebegini berlaku, mereka yang akan dipersalahkan sedangkan penguat kuasa hanyalah penjawat awam yang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

"AMK menggesa agar rakyat yang berhadapan dengan kes sebegini untuk tampil ke hadapan dan Biro Profesional Muda AMK bersedia menawarkan khidmat guaman bagi memberikan pembelaan kepada mereka.

"Kerajaan hari ini seperti sudah berkurang sifat nurani dalam melihat keterdesakan ekonomi rakyat dan amalan dua darjat pastinya menjadi isyarat tekanan serta penindasan berterusan kepada rakyat akan berlaku," katanya.