Khairy nafi pekerja syarikat Genting terima vaksin atas arahannya

Khairy
Khairy
A
A
A

PUTRAJAYA - Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar menafikan sekumpulan pekerja syarikat Genting Group yang menerima vaksinasi Covid-19 atas arahannya.

Sebaliknya kata Khairy, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Pahang membuat keputusan untuk memberikan vaksin kepada pekerja-pekerja di sektor pelancongan melibatkan 56 buah hotel di Kuantan, Genting Highlands, Cameron Highlands, Jerantut, Raub, Mentakab, Bentong, Bukit Tinggi dan Bukit Fraser.

"Saya menafikan saya pernah mengeluarkan apa-apa arahan seperti dakwaan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, keputusan CITF Pahang dibuat selepas negeri itu telah selesai memberikan vaksinasi dos pertama sementara menunggu selang masa bagi dos kedua kepada kesemua penerima yang tersenarai dalam kumpulan keutamaan fasa satu.

"Pihak CITF Persekutuan hanya mengetahui keputusan CITF Pahang selepas mereka memulakan vaksinasi kepada kumpulan tersebut," katanya.

Susulan itu, Khairy yang juga Menteri Sains Teknologi dan Inovasi telah menulis surat kepada kerajaan Pahang pada 12 April lalu dengan menyatakan bahawa keputusan untuk menyenaraikan kumpulan awal penerima vaksin adalah di bawah bidang selia Jawatankuasa Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV).

"Sehingga mana-mana kumpulan disenaraikan, keputusan senarai keutamaan terdahulu adalah terpakai," katanya.

Tambahnya, penetapan kumpulan penerima vaksin fasa satu PICK adalah mengikut Garis Panduan Penetapan Senarai Petugas Barisan Hadapan seperti dikeluarkan oleh JKJAV pada 1 Mac.

Artikel Berkaitan:

"Semasa tempoh pelaksanaan fasa satu PICK, janji temu vaksinasi diuruskan oleh CITF negeri mengikut senarai yang turut disediakan di peringkat negeri.

"Bagaimanapun, terdapat beberapa buah negeri yang beranggapan mereka boleh mula memberikan vaksinasi kepada kumpulan penerima lain apabila selesai menjalankan vaksinasi kepada penerima fasa satu," katanya.