'Saya kena berhutang untuk bayar kompaun RM50,000 itu'

Mansah menunjukkan surat kompaun yang dikenakan kepadanya.
Mansah menunjukkan surat kompaun yang dikenakan kepadanya.
A
A
A

KOTA BHARU – Seorang pemilik kedai runcit mendakwa dia mungkin terpaksa berhutang untuk membayar kompaun RM50,000 yang dikenakan kepadanya atas dakwaan membuka perniagaan lebih masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mansah Marjurin, 47, memberitahu, dia akan mengambil tindakan itu sekiranya tidak mendapat pengurangan ke atas jumlah kompaun tersebut.

“Jika tiada pengurangan, saya perlu berhutang untuk membayar kompaun berkenaan, saya tiada duit, hutang sedia ada pun belum dapat dibayar” katanya.

Mansah antara tiga peniaga yang dikenakan kompaun RM50,000 pada Ahad lalu bagi kesalahan beroperasi lebih masa ketika PKP.

Pemilik kedai runcit di Jalan Chempaka itu berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, dia sedang berbual dengan isteri bersama beberapa anggota keluarga yang lain selepas menutup kedai pada jam 9.45 malam.

Bagaimanapun kemudian dikejutkan dengan kedatangan anggota penguat kuasa yang menganggap dia masih lagi membuka operasi kedai runcit berkenaan.

“Kedai sudah tutup, cuma lampu belum tutup sebab ada saudara saya yang datang ke rumah. Itu saja. Disebabkan lampu tidak tutup, mereka ingat saya masih lagi buka kedai.

“Saya sudah terangkan tetapi mereka tidak terima, kononnya saya memberikan alasan. Saya tidak mampu cakap apa lagi sedangkan ketika itu kami semua sedang berehat dan berbual,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada tiga anak tersebut turut berkongsi keadaannya ketika ini yang sudah lebih lima bulan tidak membayar sewa rumah dan dibenarkan duduk atas ihsan pemberi sewa, selain mempunyai tunggakan bil elektrik serta bayaran ansuran kenderaan.

Namun dia tetap meneruskan perniagaan untuk membayar secara ansur-ansur semua hutang yang perlu dijelaskan tetapi kini dikejutkan pula dengan kompaun yang tidak masuk akal.

Ketika ditanya mengenai kompaun berkenaan, Mansah memberitahu, dia dan isteri telah mengambil borang pengurangan kompaun dan akan menyerahkan kepada pihak berkenaan pada Khamis.