13 lagi sekolah diarah tutup di Negeri Sembilan

SMK Seremban 2 antara empat buah sekolah dilanjutkan tempoh penutupan. - Foto Bernama
SMK Seremban 2 antara empat buah sekolah dilanjutkan tempoh penutupan. - Foto Bernama
A
A
A

SEREMBAN - Sebanyak 13 lagi sekolah di Negeri Sembilan diarah tutup selama dua hari susulan penularan pandemik Covid-19 di negeri ini.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, 12 buah sekolah diarah tutup bermula pada Rabu dan sebuah sekolah pada Khamis.

"Sekolah diarah tutup pada Rabu di daerah Seremban iaitu Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), SJKC Pei Hua, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seremban 3, Sekolah Kebangsaan (SK) Lavender Height, SK Taman Seri Mawar, Sekolah Menengah Teknik Tuanku Jaafar, SJK Tamil Covent, SK Senawang 3, SK Mantin dan Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu.

"Selain itu sebuah sekolah di Tampin iaitu SK Kampung Ladang Gemas dan sebuah sekolah di Port Dickson iaitu SMK Kampung Baru Si Rusa. Manakala SJKC Sino English di Seremban diarah tutup pada Khamis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, empat buah sekolah dilanjutkan tempoh penutupan iaitu SMK Seremban 2, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Nilai, SK Desa Cempaka di Nilai dan SK Port Dickson.

Beliau berkata, arahan penutupan itu bagi membolehkan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) membuat penilaian risiko, pengesanan kontak rapat dan sekolah menjalankan proses disinfeksi.

Beliau berkata, penutupan sekolah boleh dilanjutkan melebihi tempoh dua hari berdasarkan saranan, nasihat dan penilaian risiko oleh PKD yang berkaitan.

"Secara umum, penutupan sementara yang membabitkan sekolah-sekolah ini membabitkan kes positif Covid-19 yang sangat minima iaitu secara purata satu kes kecuali di SMK Seremban 2. Penutupan ini untuk membolehkan sekolah-sekolah terbabit melalui proses disinfeksi.

Artikel Berkaitan:

"Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan memantau secara terperinci keseluruhan perjalanan sekolah-sekolah," katanya.

Sehubungan itu, katanya, ibu bapa tidak perlu bimbang mengenai keselamatan kesihatan anak-anak mereka tetapi menasihatkan anak-anak untuk mematuhi sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) semasa berada di sekolah dan semasa berulang-alik ke sekolah.

Untuk rekod, pada Isnin, sebuah sekolah di Jempol, Kuala Pilah, Port Dickson dan Nilai telah diarah tutup dua hari manakala pada Selasa lapan buah sekolah lagi diarahkan sama iaitu enam di Seremban dan satu di Nilai dan Tampin.