Padah lelaki carut polis ketika diperiksa

No Image Caption
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang mempertikaikan tugas polis selain mengeluarkan kata-kata kesat ditahan di perkarangan sebuah kondominium di Damansara Perdana, di sini pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 49 tahun yang sedang minum minuman keras seorang diri itu ditahan sepasukan polis yang melakukan rondaan cegah jenayah kira-kira jam 10.30 malam untuk pemeriksaan.

Menurutnya, semasa hendak melakukan pemeriksaan, lelaki itu enggan bekerjasama serta tidak berpuas hati dengan penahanan yang dibuat oleh polis terhadapnya.

"Suspek telah meninggikan suara dengan mempertikaikan tugas pihak polis serta mengeluarkan kata-kata kesat yang berbaur penghinaan terhadap polis.

"Suspek juga telah merakam video pihak polis yang sedang menjalankan tugas serta mengugut untuk menularkan ke dalam Facebook," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, suspek yang juga seorang penulis ditahan reman selama dua hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955.

Dalam kes berasingan, dua lelaki warga asing diberkas selepas bertindak memecut kereta dinaiki semasa pemeriksaan polis di Jalan Persiaran Tropicana, di sini kira-kira jam 1.45 tengah hari pada Isnin.

Bagaimanapun, katanya, kereta jenis Honda itu berjaya ditahan di Jalan PJU 1a/42b Damansara.

Artikel Berkaitan:

"Siasatan awal mendapati suspek mengaku melarikan diri dari pemeriksaan polis kerana tidak mempunyai lesen memandu dan pasport.

"Kedua-dua suspek berumur 35 dan 39 tahun dan telah ditahan reman selama empat hari untuk disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.