Jet bawa dadah: PDRM tunggu pengesahan penglibatan ahli politik Filipina

JOHOR BAHRU – Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menunggu pengesahan rasmi pihak berkuasa Filipina berhubung dakwaan seorang ahli politik negara itu membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521 kilogram dadah disyaki syabu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, PDRM sudah berkongsi maklumat berkaitan kes berkenaan dengan Agensi Penguatkuasaan Dadah Filipina (PDEA).
Beliau berkata, pihaknya turut mengenal pasti dua individu warga Filipina yang dipercayai membuat tempahan pesawat peribadi terbabit.
Bagaimanapun, katanya, dakwaan mengenai penglibatan ahli politik Filipina dalam sindiket berkenaan masih memerlukan pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa negara itu.
“Kita masih menunggu pengesahan rasmi sama ada sindiket itu melibatkan ahli politik di Filipina ataupun tidak.
“Apa yang kita dengar setakat ini adalah berdasarkan laporan pemberita di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas sidang akhbar kejayaan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, pada Jumaat.
Pada Khamis, media di Manila melaporkan jurucakap PDEA, Joseph Frederick Calulut, mendakwa seorang ahli politik dari Mindanao, selatan Filipina, membiayai sewaan jet peribadi yang membawa 521 kilogram dadah disyaki syabu di Laos.
Laporan itu turut menyebut dadah berkenaan dianggarkan bernilai 3.54 bilion peso.
Ahli politik terbabit juga didakwa membayar sebanyak 31 juta peso bagi menyewa pesawat berkenaan.
Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengesahkan dakwaan berhubung individu yang dipercayai terlibat dalam pembiayaan penerbangan terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

