X

Kindly register in order to view this article
!

Dua Divisyen Tentera Darat rampas barangan seludup RM24.2 juta

ATM
A
A

BUKIT KAYU HITAM - Dua Divisyen Infrantri Tentera Darat berjaya merampas pelbagai barangan seludup dianggarkan bernilai RM24.2 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Panglima Medan Barat Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata, kejayaan berkenaan menunjukkan keberkesanan operasi dijalankan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terutamanya Ops Benteng.

Menurutnya, sebelum ini, pihaknya merampas pelbagai barangan seludup dianggarkan bernilai RM2.4 juta pada 2019 dan 2020 menerusi perlaksanaan Ops Benteng.

"Selain itu, Ops Benteng dijalankan turut mengekang penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan cara menghindar, mengesan, mengusir, menahan dan sebagainya.

"Malah, jumlah penahanan PATI juga didapati menurun sebanyak 35 peratus berbanding sebelum ini sejak Ops Benteng dilaksanakan pada Mei tahun lalu," katanya.

Beliau berkata sedemikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Aset Mobaliti Darat kepada Operasi Benteng Zon Utara KTJ Dua Divisyen di Markas Taktikal Kompeni-Pos Lima Operasi Pagar II Siri 2/2021 di sini pada Selasa.

Menurut beliau, penurunan tangkapan menunjukkan keberkesanan operasi berkenaan dalam menangani kemasukan PATI melalui laluan haram dan lorong tikus di kawasan sempadan.

Tambah beliau, sehubungan itu, sebanyak enam All Terrain Vehicle (ATV) dan empat pikap satu tan GS-Cargo dibekalkan di kawasan Ops Pagar 2 melihat kepada keberkesanan operasi berkenaan dan hasil analisis dibuat berdasarkan input diperoleh.

Menurutnya, aset berkenaan dibekalkan bagi meningkatkan keupayaan mobiliti dan menjimatkan masa anggota untuk melakukan rondaan khususnya di kawasan bentuk muka bumi sukar dilalui dan mengambil masa lama.

Beliau berkata, pihaknya berharap aset baharu dibekalkan berkenaan membolehkan anggota melakukan tugasan lebih pantas.

Dalam perkembangan sama, katanya, penggunaan dron di kawasan sempadan masih dalam peringkat perbincangan, bagaimanapun beliau yakin perolehan akan dibuat dalam tempoh terdekat.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!