X

Kindly register in order to view this article
!

Pulau Pinang ‘juara’ kes rampasan dadah

A
A

[INFOGRAFIK] Pada tahun lalu, serbuan berkaitan kes pengedaran dadah melibatkan rampasan bernilai RM100,000 dan ke atas dilakukan dengan begitu agresif sekali.

Ia telah dilakukan secara menyeluruh di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Serbuan melibatkan pasukan keselamatan negara terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maririm Malaysia (Maritim Malaysia) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Dalam kes dilaporkan oleh akhbar tempatan pada 2020, kesemua pasukan keselamatan tersebut bukan sahaja merampas dadah yang diedar, malah mereka turut merampas dadah yang sedang diproses di dalam makmal.

Berdasarkan data diperoleh, Pulau Pinang mencatatkan rampasan tertinggi iaitu sebanyak 12 kes, diikuti oleh Johor (9) dan Kuala Lumpur (7).

Memetik laporan Bernama, Pulau Pinang mencatatkan rampasan tertinggi kerana negeri tersebut merupakan tempat persinggahan sindiket dadah antarabangsa.

Dadah diedar diseludup dari ‘Tiga Segi Emas’ berhampiran sempadan Thailand, Myanmar dan Laos, yang juga dikenali sebagai kilang dadah dunia.

Pemangku Pemerintah Bahagian Pencegahan Narkotik Kawasan 4 Thailand (selatan), Mej Jen Dussadee Choosankij berkata, dadah berkenaan akan dieksport ke negara lain setelah tiba di Pulau Pinang.

“Saya rasa Malaysia (Pulau Pinang) menjadi hab (bagi dadah yang dibawa dari Thailand) kerana ia mempunyai pelabuhan dan terdapat sindiket Malaysia yang mempunyai kaitan dengan sindiket dadah di negara lain.

“Pasaran utama bagi dadah melalui Pulau Pinang ini ialah Taiwan dan setelah sampai di Taiwan, bahan itu akan dieksport pula ke negara lain," katanya memetik laporan Bernama. Bagi nilai rampasan pula, Pulau Pinang berkongsi tempat pertama dengan Kuala Lumpur sebagai negeri yang mencatat nilai rampasan dadah paling tinggi pada tahun lalu.

Masing-masing mencatat nilai rampasan dadah sebanyak RM162 juta walaupun setiap negeri mencatat jumlah kes rampasan yang berbeza.

Tempat kedua pula diikuti oleh Negeri Sembilan dengan nilai rampasan dadah bernilai RM107 juta.

Berbeza dengan Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan hanya mencatatkan dua kes rampasan dadah melebihi RM100,000 pada tahun lalu namun nilainya melebihi negeri lain kerana melebihi angka RM1 juta nilai rampasan.

KRONOLOGI KES

JANUARI

JOHOR BAHRU, 5 Jan - Polis merampas dadah bernilai lebih RM287,000 selepas melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah dipercayai tertumpu kepada kelab pusat hiburan sekitar bandar raya ini.

KUALA LUMPUR, 15 Jan - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM144.9 juta selepas menahan sembilan individu di beberapa kediaman sekitar Kuala Lumpur.

FEBRUARI

MANJUNG, 5 Feb - Polis berjaya melumpuhkan sindiket memproses dadah didalangi tiga lelaki di sebuah ladang dekat Sitiawan dan merampas lebih 183 kilogram (kg) dadah bernilai lebih RM15.5 juta.

MAC

GEORGE TOWN, 3 Mac - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi empat sekeluarga termasuk suami isteri membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM5.2 juta.

APRIL

KUALA SELANGOR, 10 April - Polis merampas syabu seberat 61kg dan erimin 5 (11.65kg) bernilai RM3.5 juta selepas melumpuhkan sebuah sindiket pengedaran dadah di sekitar daerah berkenaan.

TAIPING, 13 April - Lebih 20kg dadah jenis heroin bernilai RM264,000 dirampas susulan penahanan dua lelaki di sekatan jalan raya sewaktu penugasan Ops Covid-19 di Jalan Kuala Kangsar-Taiping.

MEI

JOHOR BAHRU, 11 Mei - Polis merampas dadah bernilai RM454,215 selepas berjaya menumpaskan sindiket edar dadah yang menggunakan aplikasi WeChat bagi mencari pelanggan di sekitar daerah itu.

KUALA LUMPUR, 13 Mei - Polis merampas RM12 juta dadah selepas menumpaskan satu sindiket penghasilan dan pengedaran pil yaba serta ekstasi didalangi lima sekeluarga dalam sembilan serbuan berasingan di Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

SEREMBAN, 18 Mei - Polis dan Maritim Malaysia menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah membabitkan rampasan lebih 100kg dadah bernilai RM7.2 juta.

JOHOR BAHRU, 25 Mei - Polis Johor berjaya merampas 47.6kg syabu bernilai RM1.9 juta yang cuba diseludup ke Indonesia di Teluk Sengat, Kota Tinggi.

KUALA LUMPUR, 29 Mei - Dua sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan tumpas susulan serbuan di beberapa lokasi sekitar ibu negara, sekali gus membawa kepada rampasan dadah bernilai hampir RM1 juta.

JUN

NILAI, 9 Jun - Kastam berjaya merampas 2,500kg dadah RM100 juta selepas menumpaskan sindiket edar dadah antarabangsa yang berselindung di sebalik perniagaan susu unta dan susu kambing pracampuran.

KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Empat individu termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan melibatkan rampasan heroin, syabu dan pil kuda hampir RM1.72 juta dalam serbuan berasingan di Kemasik, Kemaman

JULAI

KOTA KINABALU,13 Jul - Kastam menahan empat suspek dan merampas 23kg methamphetamine bernilai RM1.15 juta.

SHAH ALAM, 14 Jul - Polis merampas dadah bernilai RM5.46 juta dalam beberapa serbuan berasingan membabitkan dua kumpulan sindiket berbeza di sekitar Selangor.

KUALA LUMPUR, 14 Jul - Polis merampas dadah jenis kokain seberat 3.2kg bernilai RM600,000 selepas menahan dua lelaki di Batu 5, Jalan Klang Lama, Jumaat lalu.

KUALA TERENGGANU, 20 Jul - POLIS menahan tiga beranak dan merampas dadah jenis syabu serta pil kuda bernilai RM176,900 di sebuah rumah di taman perumahan di Kemaman.

KUALA LUMPUR, 22 Jul- Dua lelaki ditahan kerana terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah melibatkan nilai rampasan syabu, heroin dan erimin 5 berjumlah RM238,000.

OGOS

KUANTAN, 3 Ogos - Polis melumpuhkan sindiket pengedaran dadah apabila merampas syabu dan pil yaba bernilai RM400,000 susulan penahanan empat lelaki di Pahang dan Terengganu.

KUCHING, 4 Ogos - Polis merampas lebih 17kg dadah dianggarkan bernilai RM1.3 juta apabila berjaya membongkar kegiatan sebuah makmal dadah selepas menyerbu sebuah kondominium di Miri.

JOHOR BAHRU, 5 Ogos - Polis menumpaskan sindiket edar dadah dikenali sebagai Kumpulan Bobby yang didalangi rakyat tempatan dan warga asing dan merampas dadah bernilai RM425,571.

GEORGE TOWN, 12 Ogos - Polis menumpaskan sindiket memproses dan mengedar syabu serta heroin membabitkan rampasan dadah RM447,320 selepas menahan dua lelaki di Seberang Prai Tengah.

SEPTEMBER

KANGAR, 3 Sept - Pasangan dua beranak bersama seorang remaja ditahan di Felda Rimba Emas, Padang Besar selepas didapati mengetuai sindiket pengedaran dadah syabu dan ganja bernilai RM6.5 juta.

TAPAH, 4 Sept - Sepasang kekasih ditahan bersama 220 ketulan mampat methamphethamine bernilai RM535,525 dalam serbuan di hentian Rehat dan Rawat (R&R) Tapah arah selatan di Lebuh Raya Utara Selatan.

KUALA LUMPUR, 4 Sept - Empat sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ke Malaysia digagalkan dalam empat serbuan berasingan di Kelantan, Perak dan Perlis dalam tempoh tiga hari oleh polis melibatkan rampasan bernilai RM65 juta.

SEPANG, 11 Sept - Polis merampas 5.24kg dadah disyaki jenis ketamin dan syabu dianggarkan bernilai RM204,200 selepas menahan dua lelaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

JOHOR BAHRU, 12 Sept - Polis menumpaskan sindiket penyeludupan dan pengedaran dadah ‘Rose Quartz’, sekali gus merampas pelbagai jenis dadah berjumlah RM1.5 juta.

TUMPAT, 21 Sept - Seorang pengedar dadah ditahan kerana memiliki 318,229 biji pil kuda bernilai RM3 juta yang disorok dalam guni di bawah rumah oleh suspek berusia 46 tahun.

GEORGE TOWN, 24 Sept - Polis merampas 352 ketulan mampat ganja seberat 345.4kg bernilai RM880,000 dan memberkas dua lelaki dalam serbuan berasingan di Sungai Dua dan Butterworth.

GEORGE TOWN, 25 Sept - Polis merampas dadah bernilai RM587,000 selepas berjaya menyerbu sebuah makmal mini untuk memproses heroin di Seberang Perai Tengah.

LANGKAWI, 29 Sept - Maritim Malaysia berjaya menggagalkan cubaan dua lelaki menyeludup 56.5kg dadah jenis syabu bernilai RM11.3 juta di perairan Tanjung Kemarong.

MELAKA, 29 Sept - Polis merampas syabu bernilai RM2.5 juta selepas menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan penahanan seorang lelaki berusia 56 tahun dan anak lelakinya di Klebang Kechil.

OKTOBER

CHERAS, 2 Okt - Polis merampas dadah jenis ketamin bernilai hampir RM1.1 juta selepas menahan dua lelaki di tepi jalan sekitar kawasan Kampung Baru Salak Selatan.

SHAH ALAM, 7 Okt - Polis merampas dadah bernilai RM 11.4 juta dan menahan enam lelaki tempatan dalam siri serbuan di sekitar Kota Damansara, Petaling Jaya, Selangor.

SEPANG, 8 Okt - Kastam melumpuhkan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 30.68kg dadah jenis ketamine bernilai RM1.7 juta di sebuah rumah kedai di Ampang, Selangor.

LANGKAWI, 23 Okt - Polis merampas kira-kira 11.5kg heroin dan syabu bernilai RM594,200 selepas menahan empat lelaki dalam tempoh empat jam di pulau berkenaan.

KOTA BHARU, 28 Okt - Polis Kelantan merampas 18,000 biji pil kuda, 500 gram syabu serta 24 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM240,000 hasil serbuan di sebuah rumah di Kampung Ketereh.

NOVEMBER

GEORGE TOWN, 1 Nov - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dan merampas syabu serta ganja bernilai RM822,000 dalam sembilan serbuan di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

PASIR MAS, 1 Nov - Polis merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM131,110 dalam dua serbuan di Kampung Lubok Chekok dan Kampung Belukar.

JOHOR BAHRU, 1 Nov - Polis Johor merampas ganja RM272,500 selepas menumpaskan sebuah sindiket dadah yang didalangi oleh sebuah keluarga terdiri daripada ibu bapa, tiga anak serta dua menantu.

TAPAH, 1 Nov - Polis menumpaskan sindiket pemprosesan dadah dan merampas merampas 37.2kg dadah disyaki syabu dianggarkan bernilai RM1.6 juta.

BUTTERWORTH, 9 Nov - Jabatan Kastam Diraja Malaysia merampas dadah RM1 juta, sekali gus menumpaskan sindiket penyeludupan dadah menggunakan perkhidmatan kurier.

SHAH ALAM, 13 Nov - Polis menahan lima lelaki termasuk seorang anggota tentera dan merampas 120 bungkusan teh Cina mengandungi dadah dianggarkan bernilai RM5 juta.

GEORGE TOWN, 15 Nov - Polis menahan 12 ahli sindiket pengedaran dadah termasuk seorang wanita warga Laos dan merampas ganja bernilai RM2.1 juta dalam lapan serbuan di beberapa kawasan di negeri ini dan Kedah kelmarin.

KANGAR, 18 Nov - Maritim Malaysia merampas 300kg ketulan ganja mampat dan daun ketum seberat 1.5 tan bernilai sekitar RM910,000.

GEORGE TOWN, 20 Nov - Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM8.1 juta selepas menahan enam suspek termasuk isteri dan ibu kepada ketua sindiket.

GEORGE TOWN, 25 Nov - Polis menumpaskan satu lagi sindiket memproses dan mengedar dadah bernilai RM177,210 menerusi beberapa serbuan dijalankan di Pulau Pinang dan Perak.

TAWAU, 25 Nov - Esscom menumpaskan sindiket pengedaran dadah susulan rampasan 54.35kg syabu dan 74.56 gram pil Ecstacy bernilai RM2.5 juta dalam serbuan di kawasan Kuala Sungai Tawau Lama.

JOHOR BAHRU, 30 Nov - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah membabitkan nilai keseluruhan rampasan bahan terlarang itu bernilai RM737,000 dalam tiga serbuan di sekitar Seri Alam.

DISEMBER

KOTA KINABALU, 7 Dis - Kastam merampas 30kg dadah jenis syabu bernilai RM1.2 juta dan ganja seberat 5.7kg bernilai RM10,389 alam tiga buah serbuan berbeza sepanjang bulan lalu.

GEORGE TOWN, 7 Dis - Maritim Malaysia Pulau Pinang menggagalkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM10.5 juta di Pulau Betong.

JOHOR BAHRU, 8 Dis - Polis menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Indonesia dan merampas syabu bernilai RM 1.4 juta dalam empat serbuan di daerah ini dan Kota Tinggi.

GEORGE TOWN, 13 Dis - Maritim Malaysia menumpaskan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa dan merampas 2.19 tan methamphetamine bernilai RM105.9 juta.

BENTONG, 15 Dis - Polis merampas dadah bernilai kira-kira RM488,000 dalam serbuan di Genting Highlands dipercayai untuk pasaran di Bentong dan Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR, 18 Dis - Polis merampas dadah bernilai lebih RM2.5 juta selepas menumpaskan Geng Fei Long yang aktif mengedar dadah di sekitar ibu negara.

SERIAN, 27 Dis - Polis merampas pil ekstasi dan syabu bernilai RM536,288 selepas menahan tiga lelaki dalam satu rondaan Ops Benteng di kawasan berkenaan.

GEORGE TOWN, 26 Dis - Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah didalangi warga tempatan dan merampas pelbagai jenis dadah seberat 573kg bernilai RM25.8 juta melalui tiga serbuan di Nibong Tebal.

JOHOR BAHRU, 29 Dis - Polis menahan empat lelaki tempatan dan merampas dadah bernilai RM1 juta dalam empat serbuan di sekitar Muar dan Johor Bahru.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!