Tragedi 10 kapal selam tenggelam di dasar laut

Gambar fail menunjukkan kapal selam Kursk (kanan) milik tentera laut Rusia berlabuh di Pangkalan Vidyayevo, Rusia. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan kapal selam Kursk (kanan) milik tentera laut Rusia berlabuh di Pangkalan Vidyayevo, Rusia. - Foto AFP
A
A
A

KAPAL selam KRI Nanggala-402 milik Tentera Laut Indonesia yang hilang pada awal pagi Rabu lalu dan ditemui terbelah kepada tiga bahagian pada Ahad lepas merupakan insiden terbaharu melibatkan kapal selam-kapal selam di dunia.

Dalam insiden itu, seramai 53 kru KRI Nanggala-402 diisytiharkan terkorban dalan bulan Ramadan dan ia merupakan kejadian yang pertama kali berlaku sejak kapal selam mula digunakan oleh tentera negara tersebut pada hujung tahun 1950-an.

Berikut adalah insiden-insiden yang melibatkan kapal selam milik tentera dari pelbagai negara yang pernah mengalami insiden di bawah permukaan laut di seluruh dunia.

1. Kapal selam Kursk milik Rusia

Pada Ogos 2000, kapal selam berkuasa nuklear milik tentera Rusia, Kursk terbakar dan meletup di bawah laut ketika menyertai satu latihan ketenteraan di Laut Barents di luar perairan Norway.

Seramai 118 kru yang menaiki kapal selam itu terbunuh dalam kejadian terburuk yang pernah berlaku dalam sejarah kapal selam di Rusia.

2. Kapal selam China

Seramai 70 orang pegawai tentera laut China dan kru terbunuh dipercayai lemas dalam satu insiden sebuah kapal selam kelas Ming yang sedang melakukan latihan ketenteraan di timur Kepulauan Neichangshan pada Mei 2003.

Artikel Berkaitan:

Kerajaan China menyatakan terdapat masalah mekanikal yang menyebabkan insiden itu berlaku. Tiada maklumat jelas mengenai kejadian sebenar yang berlaku pada kapal selam berkuasa diesel itu.

3. Kapal selam Argentina

Seramai 44 kru kapal selam buatan Jerman yang menggunakan kuasa diesel-elekterik milik tentera Argentina hilang di Atlantik Selatan pada pertengahan November 2017 pada kedalaman 900 meter dan 400 kilometer dari pantai Patagonia.

Menurut Tentera Laut Argentina, kapal selam itu meletup ekoran masalah teknikal.

4. Kapal selam Kesatuan Soviet

Pada April 1989, satu kebakaran ekoran litar pintas berlaku pada sebuah kapal selam Komsomolets milik tentera Kesatuan Soviet yang kini dikenali sebagai Rusia.

Kejadian itu menyebabkan 42 kru terbunuh tetapi seramai 27 lagi terselamat dalam kejadian yang berlaku kira-kira 500 kilometer dari Norway.

Kru-kru kapal tersebut dilaporkan tidak dapat memadamkan kebakaran menyebabkan kapal selam itu naik ke permukaan laut manakala sebahagian kru terjun dari kapal selam tersebut manakala yang lain menggunakan bot penyelamat untuk menyelamatkan diri.

5. Kapal selam Perancis

Pada 4 Mac 1970, kapal selam milik tentera Perancis iaitu Eurydice hilang di luar pantai Saint-Tropez, tenggara negara itu. Seramai 57 kru yang menaikinya terbunuh selepas kapal selam tersebut meletup. Serpihan-serpihan kapal selam itu ditemui pada bulan yang seterusnya.

Bangkai kapal selam milik Perancis, Eurydice yang tenggelam pada tahun 1970.
Bangkai kapal selam milik Perancis, Eurydice yang tenggelam pada tahun 1970.

6. Kapal selam Amerika Syarikat (AS)

Sebuah kapal selam berkuasa nuklear, Scorpion milik tentera AS hilang di Lautan Atlantik pada Mei 1968 dan dipercayai musnah akibat letupan peluru torpedo yang berada di dalam kapal selam tersebut.

7. Kapal selam Kesatuan Soviet

Pada tahun 1968, sebuah kapal selam K-129 milik tentera Kesatuan Soviet yang dilengkapi dengan tiga peluru berpandu nuklear hilang 2,500 kilometer dari Hawaii di Pasifik Utara. Ia dinaiki oleh 98 kru.

AS kemudian menemui kapal selam tersebut berada 5,000 meter di bawah permukaan laut.

8. Kapal selam Perancis

Kapal selam tentera laut Perancis, The Minerve hilang di luar pantai Toulon, selatan negara itu pada Januari 1968 bersama 52 kru dipercayai terbunuh.

Pada Julai 2019, kira-kira 45 kilometer dari pantai Toulon, kapal selam itu ditemui dalam keadaan terbelah tiga.

9. Kapal selam Israel

Sebuah kapal selam Israel, The Dakar yang membawa 69 kru hilang pada Januari 1968 dan akhirnya ditemui di luar pantai Pulau Crete, Greece pada tahun 1999. Kapal selam itu hilang ketika menuju ke Israel dari Britain.

Semua kru itu terbunuh dalam pelayaran dan selaman pertama kapal selam tersebut yang berkuasa diesel-elektrik. Ia merupakan kapal selam yang diubah suai daripada kapal selam Britain pada era Perang Dunia Kedua

10. Kapal selam AS

Pada April, kapal selam milik tentera AS, USS Thresher tenggelam bersama 129 kru di luar pantai Cape Cod kira-kira 400 kilometer dari timur laut pantai AS. Ini pertama kali AS kehilangan kapal selam berkuasa nulear di laut. - Agensi

Kapal milik AS, USS Thresher tenggelam bersama 129 kru di luar pantai Cape Cod, Massachusetts.
Kapal milik AS, USS Thresher tenggelam bersama 129 kru di luar pantai Cape Cod, Massachusetts.