Piala AFC: Perlawanan babitkan KDA, TFC dijadualkan semula

Aksi KDA menentang TFC pada perlawanan Liga Super di Alor Setar pada 9 April lalu. -Foto Kedah Darul Aman FC
Aksi KDA menentang TFC pada perlawanan Liga Super di Alor Setar pada 9 April lalu. -Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

SAINGAN peringkat kumpulan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021 bagi zon ASEAN membabitkan Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Terengganu FC (TFC) dipinda ke tarikh baharu, menurut AFC dalam kenyataan pada Isnin.

AFC memaklumkan bahawa perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada 22 hingga 28 Jun dijadualkan berlangsung pada tarikh baharu iaitu 29 Jun hingga 5 Julai bagi saingan Kumpulan H, manakala Kumpulan I pula bermula pada 30 Jun hingga 6 Julai.

Menurut AFC, keputusan berkenaan dibuat setelah mendapat pengesahan jadual baharu pertandingan kelab utama benua, saingan playoff Liga Juara-Juara AFC (Timur) yang ditetapkan pada 22 Jun dan keputusan perlawanan peringkat awal membabitkan pasukan dari Zon ASEAN.

AFC memaklumkan perkara lain berkaitan saingan itu tidak berubah dengan perlawanan bagi Kumpulan H dan I dijadualkan berlangsung di Singapura manakala baki perlawanan Kumpulan G akan dimaklumkan kemudian.

Naib juara Liga Super 2020, KDA FC diundi dalam Kumpulan H bersama Lion City Sailors FC dari Singapura, Saigon FC (Vietnam) dan satu lagi pasukan ditentukan melalui playoff bulan depan.

Sementara saingan Kumpulan I pula terdiri daripada Geylang International FC (Singapura), Kaya FC-Iloilo (Philippines), TFC dan satu pasukan playoff. - Bernama

Artikel Berkaitan: