X

Kindly register in order to view this article
!

Gagal terjemah peluang punca Perak rebah di Stadium Perak

Antara aksi menarik pertemuan Perak menentang Melaka United di Stadium Perak. Foto: Perak FC
A
A

KEGAGALAN menterjemahkan peluang untuk menghasilkan jaringan merupakan faktor utama Perak FC tumpas 0-1 kepada Melaka United FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, pada Ahad.

Penolong Jurulatih Perak, Mohd Shahril Nizam Khalil berkata, barisan serangan The Bos Gaurus yang diketuai penyerang naturalisasi negara, Guilherme De Paula gagal berfungsi dengan baik sekali gus menyumbang kepada kekalahan itu.

“Sebagai pemain De Paula perlu lebih efektif dalam menyerang atau memberi peluang (kepada rakan) untuk menjaringkan gol. Saya harap dia akan kembali menemui jaringan dalam perlawanan menentang Sabah di Kota Kinabalu selepas ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media sejurus perlawanan.

Dalam perlawanan itu, gol tunggal Melaka dihasilkan oleh bekas pemain kebangsaan, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria pada minit ke-60.

Menurut Mohd Shahril, kekalahan yang dilakar ini juga sememangnya memberi tekanan kepada skuad The Bos Gaurus untuk memperbaiki kedudukan liga yang semakin ke penghujung saingan pusingan pertama.

“Kekalahan ini memberi tekanan kepada Perak untuk meneruskan perjalanan selepas ini, kita perlu lebih usaha untuk mencari kemenangan dan penumpuan perlu diberikan dalam aspek permainan berpasukan,” katanya.

Sementara itu, pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan berkata, pemain terutama pertahanan menunjukkan komitmen dan disiplin tinggi dalam memastikan kemenangan berjaya diterjemahkan skuad Hang Tuah.

“Terima kasih dengan tiga mata yang amat diperlukan. Saya tahu bukan senang datang ke Ipoh menentang Perak dan para pemain terutama barisan pertahanan telah menunjukkan disiplin yang sangat tinggi hingga wisel penamat,” katanya.

Selain itu, katanya, beliau berharap kemenangan tersebut akan terus meningkatkan moral pemain untuk menghadapi perlawanan lain yang akan ditempuhi selepas ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!