X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

Ambil dadah: Bekas banduan tidak serik dipenjara, disebat

A
A

KUALA LUMPUR - Seorang bekas banduan yang tidak serik keluar masuk penjara atas kesalahan dadah, hari ini menerima nasib sama apabila dipenjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana memasukkan dadah jenis amphetamine dan methamphetamine ke dalam badan, dua tahun lepas.

Hakim Ahmad Kamar Jamaludin menjatuhkan hukuman itu ke atas R Puvenesvaran, 36, setelah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Dengan itu, mahkamah mendapati tertuduh bersalah dan disabitkan atas pertuduhan," kata hakim itu yang turut memerintahkan tertuduh, yang sebelum ini pernah dipenjara sebanyak empat kali bagi kesalahan sama, menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 7 Mac 2019.

Puvenesvaran didakwa telah melakukan kesalahan itu di tandas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah Briekfields, Jalan Travers, di sini pada 4.45 petang, 7 Mac 2019.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ini adalah kesalahan kali kelima di bawah seksyen sama yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39C(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan hendaklah disebat tidak lebih tiga sebatan.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman yang dijatuhkan bermula dari tarikh tangkap namun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Khairiyah Samsudin memohon hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira faktor-faktor kepentingan dan kesihatan awam.

“Ini adalah kerana kes-kes yang melibatkan jenayah dadah sememangnya dikutuk sekeras-keras oleh masyarakat. Malah, jika kita lihat di bawah Seksyen 39C(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 hukuman boleh sampai tujuh tahun dan boleh juga disebat.

“Hukuman berbentuk pencegahan penting supaya mana-mana orang yang ingin menjerumus ke dalam jenayah dadah tidak mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Seramai empat saksi pendakwaan dan satu saksi pembelaan iaitu tertuduh telah memberi keterangan pada perbicaraan yang bermula pada 12 Ogos 2020. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!