Gelandangan maut jatuh pokok mangga

Mayat mangsa dibawa ke HSJ untuk proses bedah siasat.
Mayat mangsa dibawa ke HSJ untuk proses bedah siasat.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang gelandangan ditemui meninggal dunia di dalam longkang di hadapan sebuah pasar raya di Jalan Tenggiri, Seberang Jaya pada jam 7.25 pagi Isnin.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, mangsa dikenali sebagai Sobirin Zainol, 54, yang berasal dari Jalan Permatang Batu, Bukit Tengah di sini.

Menurutnya, penemuan mayat mangsa yang lengkap berpakaian disedari orang awam dan kemudiannya menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

Shafee berkata, siasatan awal dan maklumat penduduk berdekatan mendapati, mangsa merupakan gelandangan dan sering dilihat memanjat pokok mangga di kawasan tersebut.

"Mangsa dikatakan mengambil buah mangga tersebut untuk dijual. Dia dipercayai tergelincir dari atas pokok mangga lalu terjatuh ke dalam longkang berdekatan.

"Siasatan di lokasi kejadian mendapati, ada sebuah guni berisi buah mangga berhampiran mangsa manakala sebuah guni lagi berada di atas pokok mangga berhampiran dengan longkang," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Jelasnya, hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah pada tubuh mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan.

"Terdapat kesan darah pada telinga bahagian kiri mangsa. Kita mendapatkan bantuan daripada pihak bomba untuk mengeluarkan mayat mangsa dari longkang tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.