Mangsa bot karam diserah pada Konsulat Indonesia

Warga Indonesia yang terlibat diserahkan kepada wakil Konsulat Indonesia pada Ahad. - Foto Maritim Malaysia
Warga Indonesia yang terlibat diserahkan kepada wakil Konsulat Indonesia pada Ahad. - Foto Maritim Malaysia
A
A
A

BATU PAHAT - Seramai 10 warga Indonesia yang terselamat dalam kejadian dua bot karam di Pulau Pisang di sini pada Sabtu lalu telah diserahkan kepada wakil pihak Konsulat Republik Indonesia pada Ahad.

Pengarah Zon Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Othman berkata, penyerahan itu dibuat kepada dua wakil konsulat pada jam dua petang di pejabat Zon Maritim Batu Pahat.

Menurutnya, bot kendalian warga Indonesia itu membawa muatan kelapa bulat dan dalam perjalanan dari Pelabuhan Sungai Guntung, Indonesia menuju ke Batu Pahat namun karam kerana dipukul ombak dan cuaca buruk.

"Kedua-dua bot barter trade itu karam di dua lokasi berbeza, iaitu bot pertama yang membawa enam kru tenggelam di tujuh batu nautika barat daya Pulau Pisang, manakala sebuah bot lagi yang membawa empat kru tenggelam di 16.5 batu nautika barat daya Pulau Pisang.

"Bagaimanapun, kesemua mangsa yang berusia antara 22 hingga 53 tahun itu berjaya diselamatkan oleh nelayan tempatan dan bot barter trade yang berada berhampiran, sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

ARTIKEL BERKAITAN: Maritim selamatkan 10 mangsa bot karam

Jelasnya, pemeriksaan swab test juga telah dilakukan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi memastikan semua awak-awak berkenaan bebas Covid-19.

"Saya ingatkan agar mereka yang berada di laut untuk sentiasa membawa dan memakai jaket keselamatan dan digalakkan membawa Personal Locator Beacon (PLB) sebagai alat keselamatan sekiranya berlaku kecemasan.

"Sebarang laporan mengenai aktiviti jenayah atau kecemasan di laut, boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di talian (07-4344020) atau melalui talian bantuan kecemasan, MERS 999," katanya.

Artikel Berkaitan: