Misi hijaukan semula Hutan Kledang Saiong

Dua plot hutan yang telah dibersihkan dua tahun lalu kini telah diwartakan semula oleh PKNP sebagai Hutan Simpan Kekal.
Dua plot hutan yang telah dibersihkan dua tahun lalu kini telah diwartakan semula oleh PKNP sebagai Hutan Simpan Kekal.
A
A
A

DAPATKAH hutan yang dimusnahkan atas nama pembangunan diwujudkan semula?

Pokok-pokok kayu berharga telah lenyap, mungkin telah dijadikan perabot di merata ceruk yang jauh, kerajaan telah mengutip hasilnya dan yang tinggal cuma tanah tandus di kaki bukit Hutan Kledang Saiong, Bukit Kinta di Ipoh.

Ia kekal sebagai monumen kemusnahan alam sekitar dan pembasmian hutan sewenang-wenangnya dalam skala besar, namun begitu terdapat banyak pelan untuk pemulihan.

Semua tumbuh-tumbuhan telah tiada, bagaimana situasi tersebut boleh dipulihkan? Bolehkah ia dilakukan secara fizikal? Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, (PKNP) telah mengambil langkah memperbetulkan kesilapan lalu dan menggunakannya untuk kebaikan semua.

Sebelum ini, beberapa pegawai kerajaan berpendapat mewartakan semula hutan simpan dan membenarkan pembalakan boleh menjadi sumber hasil pendapatan yang bagus, tetapi ia akhirnya mengakibatkan hutan seluas 160 hektar menjadi tandus.

Namun, Ketua Pegawai Eksekutif PKNP yang baru dilantik, Mohd Ariff Yeop Ishak, mempunyai perancangan berbeza.

Beliau telah meminta bantuan kerajaan negeri dan Jabatan Perhutanan untuk mewartakan semula dua plot hutan yang telah ‘digondolkan’ dua tahun lalu sebagai Hutan Simpan Kekal.

Artikel Berkaitan:

Beliau berharap program penanaman semula spesies kritikal dan jarang ditemui akan dapat dilaksanakan di kedua-dua kawasan tersebut untuk tatapan generasi akan datang.

Katanya, PKNP akan bekerjasama dengan pakar dan NGO untuk tujuan penanaman semula dan pemuliharaan di hutan simpan yang diwartakan semula itu dengan menanam, menamakan pokok dan mengajar generasi akan datang mengenai isu alam sekitar.

Sekiranya berhasil, ia bakal dimajukan sebagai tarikan eko-pelancongan dan Mohd Ariff bertegas, kawasan berkenaan akan kekal sebagai hutan dan tiada pembangunan fizikal akan dibenarkan.

“Kita mungkin mempunyai eko-pelancongan, namun tiada infrastruktur fizikal akan dibina di dalam kawasan hutan. Semua hostel dan kemudahan akan dibina di kawasan kaki bukit bukan di dalam kawasan hutan. Saya tidak mahu ada sebarang gangguan terhadap pokok-pokok,” katanya.

Beliau berkata lagi, keputusan untuk pembersihan telah dibuat oleh kerajaan dan pengurusan PKNP sebelum ini dan mereka mungkin berniat baik pada ketika itu.

“Niat mereka adalah untuk membersihkan kawasan tersebut bagi menempatkan semula peladang haram di sekitar Silver Valley Technology Park (SVTP) yang dahulu dikenali sebagai Hi Tech Park,” katanya lagi.

Kawasan hutan yang telah digondolkan untuk tujuan pembalakan menjadi kerisauan penduduk berdekatan terutamanya sekiranya berlaku hakisan dan banjir.
Kawasan hutan yang telah digondolkan untuk tujuan pembalakan menjadi kerisauan penduduk berdekatan terutamanya sekiranya berlaku hakisan dan banjir.

Tambahnya, laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) serta kajian oleh Jabatan Pertanian telah dilakukan dan memandangkan tiada bantahan maka pembasmian hutan diteruskan.

“Saya merupakan bekas seorang perancang bandar dan apabila kita melakukan sesuatu kerja pada ketinggian tertentu di lereng bukit, strukturnya akan bergerak.

Walaupun undang-undang atau dasar menyatakan boleh melakukannya pada tahap tertentu, belanja besar perlu dikeluarkan untuk penyelengaraan selain terpaksa menanggung risiko. Ia tidak berbaloi,” kata Mohd Ariff.

Menurutnya, rancangan tersebut boleh dijalankan menggunakan hasil pendapatan daripada pohon kayu-kayuan yang diperoleh kerajaan menerusi penghapusan pewartaan sebelum ini.

Wang daripada hasil pembalakan tersebut sebahagian besarnya akan digunakan untuk menempatkan semula kuarters peladang dari kawasan SVTP ke kawasan alternatif.

Terdapat kira-kira 120 peladang yang telah bersetuju untuk dipindahkan ke Changkat Kinding dan pemindahan akan dijalankan secara berperingkat. Rundingan dengan pihak yang lain sedang berjalan.

Mohd Ariff berkata, selepas para peladang terbabit dipindahkan, tanah yang pernah mereka duduki akan menjadi sebahagian dari taman teknologi tersebut yang juga akan menjadi lokasi pelbagai projek pembangunan.

Sementara itu, dua kawasan tanah berhampiran kawasan perumahan Taman Chepor Sentosa telah dibersihkan pada tahun 2019 dan para penduduk melahirkan kebimbangan mengenai keselamatan mereka.

Kerja-kerja tanah terhenti sejak bulan Mac 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan walaupun tiada aktiviti pembalakan, para penduduk bimbang dengan isu seperti risiko tanah runtuh atau banjir lumpur pada masa akan datang disebabkan tanah tandus yang tidak mempunyai tumbuh-tumbuhan dan pokok.