Ramai murid tercicir jika sekolah ditutup

No Image Caption
A
A
A

AKHBAR ini semalam melaporkan langkah menutup sepenuhnya operasi persekolahan susulan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 dalam kluster pendidikan akan menjejaskan pembelajaran 2.7 juta pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).

Kebanyakan pelajar terbabit khususnya di luar bandar menghadapi masalah mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) disebabkan tidak mempunyai ekosistem pembelajaran yang baik seperti tiada peranti dan capaian internet.

Rumah mereka hanya dilengkapi kemudahan asas sahaja. Itupun serba kekurangan. Keluarga besar, anak yang bersekolah ramai. Keadaan di rumah pula tidak kondusif untuk pembelajaran.

Jurang antara murid yang berkemampuan dan tidak berkemampuan akan terus melebar. Ada ibu bapa yang serba kekurangan terpaksa tinggalkan anak tanpa pemantauan demi mencari sesuap nasi.

Bagi anak-anak mereka, sekolah bukan sahaja sebuah gedung ilmu tetapi satu ‘escapism’ dari segala kekurangan di rumah.

Sehingga hari ini, terdapat 39 kluster sekolah dan institusi pendidikan yang melibatkan 1,420 kes berbanding 10,000 buah sekolah di bawah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) iaitu hanya 0.39 peratus.

Terdapat 1,420 kes berbanding 5,000,000 murid dan 500,000 guru di bawah kendalian KPM, iaitu hanya 0.02 peratus. Daripada setiap 100 kes di sekolah kendalian KPM, tidak sampai 30 kes adalah jangkitan dari dalam sekolah.

Lebih 70 peratus kes jangkitan adalah berpunca daripada ibu bapa murid atau pasangan kepada guru, saudara mara terdekat, pusat tuisyen dan lain-lain aktiviti keluarga di luar rumah.

Artikel Berkaitan:

Menutup sekolah mungkin menyelesaikan 30 peratus jangkitan murid-murid, tetapi 70 peratus lagi akan terdedah dengan masalah-masalah lain.

Jika sekolah ditutup, angka 70 peratus itu tentu akan meningkat terutama isu keciciran dalam pelajaran dan masalah sosial dalam kalangan murid.

Memang keselamatan warga sekolah jadi keutamaan tetapi biarlah sekolah yang terbabit sahaja yang ditutup dan bukan semua sekolah kerana murid-murid mengalami ‘kemiskinan pembelajaran’ akibat tidak banyak masa hadir belajar bersemuka di sekolah.