Dua beranak disamun penjenayah bersenjata parang

Antara barangan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah dalam serbuan di Gombak dan Sentul pada Sabtu.
Antara barangan yang dirampas daripada kumpulan penjenayah dalam serbuan di Gombak dan Sentul pada Sabtu.
A
A
A

GOMBAK - Dua beranak berhadapan detik cemas apabila disamun sekumpulan penjenayah bersenjatakan sebilah parang di sebuah kedai di Bandar Baru Selayang Fasa 2b Batu Caves di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, dalam kejadian pada jam 8 pagi, dua suspek telah menarik seorang lelaki berusia 58 tahun ke dalam kedai sebelum menutup semula ‘shutter gate’ di hadapan kedai.

"Mangsa telah diikat dengan tali rafia di belakang kedai. Suspek kemudian telah menyelongkar barang-barang dan mengambil pelbagai jenis rokok dan wang tunai anggaran RM2,000," katanya melalui kenyataan pada Ahad.

Arifai berkata, anak perempuan mangsa datang ke kedai ketika suspek mahu melarikan diri melalui pintu depan.

"Bagaimanapun suspek telah menyamun cincin emas sambil mengacukan parang ke arah anak mangsa. Dua beranak itu tidak mengalami sebarang kecederaan. Nilai kerugian dianggarkan RM5,000," katanya.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, seramai empat lelaki berusia 23 hingga 35 tahun ditahan secara berasingan di Gombak dan Sentul, Kuala Lumpur pada Sabtu.

"Kita turut merampas sebuah kereta jenis Toyota Vios warna putih, tiga telefon bimbit, sepasang sarung tangan, sehelai baju hujan, dua helai jaket hitam, sebilah parang panjang, satu topi, sehelai vest, dua spanar dan seunit kamera litar tertutup," katanya.

Arifai berkata, siasatan masih diteruskan untuk mengesan rakan suspek yang masih bebas dan mengenalpasti penglibatan kumpulan itu dalam kes lain.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek yang ditahan itu mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah," katanya.

Beliau berkata, kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula Ahad untuk siasatan lanjut.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan," katanya.