Tembak guna pelali sebelum curi lembu

Lembu yang ditemui masih hidup dipercayai dicuri oleh geng terbabit di Bachok. (Gambar kecil: Mohd Yusrizal Mohd Ghazali)
Lembu yang ditemui masih hidup dipercayai dicuri oleh geng terbabit di Bachok. (Gambar kecil: Mohd Yusrizal Mohd Ghazali)
A
A
A

BACHOK - Polis menumpaskan geng curi lembu dengan menahan dua lelaki di kawasan semak di Kampung Kemudu Bongkok, Permata Machang di sini pada Selasa.

Geng berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi menembak haiwan berkenaan dengan ubat pelali sebelum 'menyumbatnya' ke dalam lori.

Ketika ditahan, turut ditemui ialah tujuh lembu termasuk yang sudah mati dipercayai dicuri oleh suspek berusia 37 dan 46 tahun.

Pemangku Ketua Polis Daerah Bachok, Asisten Superintendan Mohd Yusrizal Mohd Ghazali berkata, polis menerima laporan berhubung kes kecurian 17 ekor lembu di kawasan Jelawat, Telong, Melawi dan Tawang membabitkan kerugian RM35,000.

“Bertindak atas laporan pada awal bulan Mac itu, pasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Bachok melancarkan operasi khas pada jam 9 malam Selasa.

“Hasil risikan dan maklumat daripada orang awam, polis menyerbu kawasan semak di Kampung Kemudu Bongkok, Permata Machang, Bachok dan berjaya menangkap dua lelaki berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Bangkai lembu yang ditemui mati selepas dipercayai ditembak dengan ubat pelali.
Bangkai lembu yang ditemui mati selepas dipercayai ditembak dengan ubat pelali.

Beliau berkata, suspek menembak lembu berkenaan untuk mengelakkan haiwan terbabit bertindak liar.

Artikel Berkaitan:

“Semakan mendapati suspek pertama memiliki dua rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah, bagaimanapun ujian urinnya negatif dadah.

“Suspek kedua pula memiliki rekod lampau berkaitan lima kes dadah dan satu kes jenayah, manakala ujian urinnya didapati positif methamphetamine," katanya.

Tambah beliau, siasatan awal mendapati geng berkenaan aktif menjalankan kegiatan mencuri lembu di daerah Bachok, Pasir Puteh dan Besut, Terengganu.

“Polis masih lagi mengesan rakan sejenayah suspek yang masih bebas," katanya.

Beliau berkata, dua yang ditahan itu dikenakan perintah reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.