MV Mega Bakti sertai misi pencarian kapal selam TNI

MV Mega Bakti
MV Mega Bakti
A
A
A

JAKARTA - Kapal penyelamat kapal selam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MV Mega Bakti tiba di Perairan Bali pada Ahad bagi menyertai operasi pencarian kapal selam Angkatan Laut Tentera Indonesia (TNI) yang hilang sejak Rabu lepas.

Atase TLDM di Indonesia Komander Nor Izam Baharudin yang ketika ini berada di Bali dan bertindak sebagai penyelaras misi itu dengan TNI berkata, MV Mega Bakti tiba pada jam 11 pagi tadi (waktu Indonesia barat) dan kru kapal diberikan taklimat oleh TNI sebelum memulakan operasi pencarian.

Operasi kapal MV Mega Bakti itu diketuai Komander TLDM, Mohd Hairul Fahmy Yob bersama 54 kru yang terdiri daripada 10 pegawai dan staf perubatan Angkatan Tentera Malaysia dan 44 kru MV Mega Bakti.

"Kapal MV Mega Bakti ketika ini (12 tengah hari tadi) berada di lokasi pencarian di perairan Bali, diberikan taklimat oleh pihak TNI dan TNI akan tetapkan nanti sektor atau kawasan pencarian mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

MV Mega Bakti tiba sejam lebih awal daripada yang dijadualkan, selepas belayar dari Jeti Operasi Markas Pemerintahan Kapal Selam, Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah pada 22 April lepas.

Pada Sabtu, Panglima TNI Hadi Tjahjanto berkata, kapal berkenaan yang diletakkan 'submissed' (kapal selam hilang) sebelum ini atau terputus hubungan, kini diletakkan 'menuju fasa tenggelam' (subsunk).

Beberapa serpihan dan barangan dipercayai komponen kapal selam itu serta kesan tumpahan minyak ditemukan di perairan Bali.

Antara barangan yang ditemukan pasukan pencari ialah bekas pelaras torpedo, paip pendingin, botol berwarna jingga, sejadah dan gris/pelincir periskop.

Artikel Berkaitan:

KRI Nanggala 402 dilaporkan terputus hubungan pada jam 4.25 pagi Rabu ketika dalam misi latihan penembakan torpedo yang turut disertai 21 kapal TNI, lima pesawat tempur dan satu lagi kapal selam yang lain. - Bernama