KPWKM semak isu guru berjenaka galak rogol

Rina Harun
Rina Harun
A
A
A

BATU GAJAH - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan membuat semakan isu guru lelaki yang membuat jenaka mengenai rogol dalam sesi pembelajaran di sebuah sekolah di Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun bagaimanapun berkata, pihaknya masih belum menerima aduan rasmi mahupun maklumat mengenai video yang telah tular di media sosial itu.

"Saya belum dapat aduan rasmi, saya kena semak dahulu. Saya perlu mendapatkan maklumat dan kesahihan," katanya ringkas ketika ditanya mengenai pendedahan seorang pelajar perempuan menerusi aplikasi Tik Tok.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan program Dapur Kita di perkarangan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di sini pada Ahad.

Sebelum ini, video berdurasi 59 saat itu memaparkan dakwaan seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun yang kesal dengan jenaka keterlaluan guru lelaki terbabit yang seolah-olah menggalakkan jenayah rogol.

Dalam perkembangan lain, Rina menggesa pemberian vaksin Covid-19 untuk kanak-kanak dapat disegerakan susulan peningkatan kes Covid-19 dalam kluster pendidikan.

Katanya, Kementerian Pendidikan pasti akan melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi mengekang penularan pandemik itu.

"Saya yakin Kementerian Pendidikan akan ambil SOP yang lebih ketat untuk kurangkan kebimbangan ibu bapa. Memandangkan kanak-kanak ini juga antara yang berisiko, saya menggesa agar vaksin untuk mereka dipercepatkan.

Artikel Berkaitan:

"Vaksin yang ada kini adalah untuk mereka berusia 18 tahun ke atas. Jadi, kita akan berhubung dengan menteri pendidikan untuk melihat keadaan kluster sekolah ini supaya diberi perhatian khusus," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar dakwa guru galak perbuatan rogol

'Senda jenayah rogol satu perkara serius'

KPM perlu siasat dakwaan guru galak perbuatan rogol: Wan Azizah