MTUC kecam dasar penilaian prestasi kerja Perkeso

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengecam dasar pengurusan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) ke atas penilaian prestasi kerja pekerja.

Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor berkata, dasar itu akan menyekat perkembangan modal insan sedangkan penilaian prestasi kerja dinilai berdasarkan kepada skop kerja yang perlu dibuat dan bukannya aktif di media sosial.

"Penilaian prestasi kerja dinilai berdasarkan kepada skop kerja yang perlu dibuat dan bukannya atas aktiviti media sosial sepertimana berkongsi Facebook, Twitter, Instagram dan sebagainya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Justeru katanya, penilaian prestasi kerja syarikat ke atas pekerja merisaukan dan memberi kesan yang besar ke atas masa depan pekerja.

"Penilaian prestasi dengan kriteria yang betul akan menggambarkan sama ada pekerja sesuai dengan jawatan, perkembangan kerjaya pekerja atau kemerosotan kerja.

"Jika prestasi kerja tidak memuaskan pihak syarikat akan mengambil tindakan sehingga pembuangan pekerja," katanya.

Kamarul Baharin berkata, MTUC telah menerima banyak kes pembuangan pekerja atas sebab markah prestasi kerja yang rendah.

Katanya, MTUC juga menerima aduan daripada Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Penyelenggaraan dan Pengurusan Sisa yang mana prestasi kerja dinilai rendah kerana melaporkan kemalangan di tempat kerja.

"Syarikat yang berada dalam industri pengurusan sisa di Tanah Merah, Negeri Sembilan menetapkan kriteria penilaian prestasi kerja yang tidak relevan.

Artikel Berkaitan:

"Kriteria penilaian prestasi kerja pengurusan Perkeso memberi mesej yang salah kepada tindakan ke atas cara penilaian prestasi kerja ini. Perkeso perlu berhati-hati dan cermat dalam membuat dasar," katanya.

Dalam pada itu, katanya, MTUC mendesak supaya ahli lembaga pengarah mengambil tindakan ke atas cara penilaian prestasi kerja itu.

"MTUC berkeyakinan dengan kepakaran ahli lembaga pengarah dalam menangani isu ini. Cara dan kaedah penilaian prestasi kerja perlu disemak secara menyeluruh dan kriteria yang berkaitan dengan kerja diambil kira.

"Penilaian prestasi pekerja amat berkait rapat dengan kenaikan gaji tahunan. Pekerja berharap dengan penilaian prestasi kerja memungkinkan gaji tahunan akan berubah," katanya.

Tambahnya, jurang gaji antara pihak pengurusan dengan pekerja bawahan amat besar sehingga isu kriteria penilaian prestasi kerja menjadi ketidakpuasan hati pekerja.

Kamarul Baharin berkata, MTUC bersedia mengambil tindakan dengan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ke atas isu yang dilaporkan kepada MTUC berkaitan dengan salah tadbir pengurusan Perkeso.

Beliau berkata, sebagai pusat buruh kebangsaan yang mempunyai kepentingan di dalam Perkeso dan mewakili pencarum dalam dana Perkeso, maka MTUC menyeru pengurusan mementingkan kebajikan pencarum dan pekerja Perkeso.

"Jurang gaji yang besar perlu diselesaikan dengan mengambil kira bahawa sumber Perkeso daripada wang pencarum pekerja," katanya.