Waspada pelaburan untung segera

Taktik penipuan pelaburan dan aktiviti skim pelaburan tidak berlesen menerusi media sosial semakin meningkat saban tahun.
Taktik penipuan pelaburan dan aktiviti skim pelaburan tidak berlesen menerusi media sosial semakin meningkat saban tahun.
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mendedahkan taktik penipuan pelaburan dan aktiviti skim pelaburan tidak berlesen menerusi media sosial semakin membimbangkan.

Sumber SC berkata, kes yang dilaporkan meningkat 158 peratus dengan 548 aduan diterima pada tahun lalu berbanding 212 aduan pada tahun 2019.

Bagi tempoh sama, SC turut merekodkan peningkatan 123 peratus jumlah pertanyaan mengenai aktiviti tersebut daripada 561 kepada 1,251 pertanyaan.

“Aduan dan pertanyaan tertinggi adalah berkaitan firma pelaburan klon dan nasihat pelaburan yang tidak berlesen serta platform aset digital tidak berdaftar.

“Kebanyakan penipuan ini dilakukan melalui iklan di Facebook yang menghubungkan ke nombor WhatsApp atau laman web palsu. Ekoran itu, sebanyak 134 pelaburan dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur SC dan menyekat 78 laman sesawang dengan bantuan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sepanjang tahun 2020,” katanya kepada Sinar Ahad.

Katanya, sebanyak 92 kes turut dilaporkan kepada pihak berkuasa atau pihak berkuasa luar negara bagi tempoh sama.

Ditanya tentang jumlah aduan terbaharu yang diterima, sumber SC itu berkata, sebanyak 215 kes aktiviti pelaburan tidak berlesen dilaporkan dengan 74 daripadanya dimasukkan ke dalam Senarai Peringatan Pelabur dengan 61 laman sesawang disekat bagi tempoh suku pertama tahun ini.

Jelasnya, berdasarkan kes yang dilaporkan, penipuan yang dilakukan melibatkan kerugian antara RM300 hingga RM20,000 kepada mangsa yang terpedaya.

Artikel Berkaitan:

Memperincikan tentang taktik yang digunakan, ujarnya, media sosial seperti Facebook akan digunakan untuk mempromosikan aktiviti atau skim pelaburan sebelum mereka akan berkomunikasi dengan mangsa menerusi aplikasi WhatsApp.

“Trend semasa penipuan yang dilakukan ialah menawarkan pulangan pelaburan yang tinggi dan lumayan dalam masa singkat.

“Contohnya melabur RM1,000 dan akan dapat pulangan RM10,000 dalam masa 24 jam. Ingat, silap melabur duit lebur,” kata sumber itu lagi.

Beliau menjelaskan, trend penipuan ketika ini turut melibatkan firma pelaburan klon yang berlagak atau menyamar sebagai sebuah syarikat yang berdaftar.

Menerusi helah itu, mereka akan menyamar sebagai sebuah syarikat tersenarai awam atau firma yang dilesenkan atau didaftarkan dengan SC dengan menggunakan nama dan logo syarikat lain.

Firma klon itu akan mempromosikan skim pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan sangat tinggi dengan sedikit atau tanpa risiko dalam jangka masa yang singkat.

Taktik firma klon

Sumber berkata, produk atau skim pelaburan itu dipromosikan melalui platform WhatsApp dan media sosial lain.

Jelasnya, apabila ada mangsa yang berminat dengan pelaburan yang dipromosikan itu, mereka akan meminta mangsa memindahkan wang ke akaun bank peribadi milik individu tertentu.

“Ingat, jangan pindahkan wang ke akaun bank peribadi untuk tujuan pelaburan kerana semua pelaburan sepatutnya hanya boleh dimasukkan ke dalam akaun bank entiti berlesen sahaja.

“Firma klon itu juga akan meminta mangsa membayar lebih banyak wang selepas itu bagi membuat pelaburan dengan helah untuk pembayaran cukai pendapatan dan pelbagai bayaran lain,” katanya.

Lebih licik lagi, firma klon itu turut mempergunakan agama untuk menarik minat orang ramai melabur dengan mendakwa pelaburan yang dijalankan patuh syariah.

Katanya, firma terbabit juga akan menggunakan sijil, invois dan resit pembayaran dari pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang palsu.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, orang awam perlu sentiasa berwaspada dengan pelaburan yang mencurigakan dan perlu melakukan semakan terlebih dahulu tentang pelaburan yang mahu disertai.

Jelasnya lagi, semakan boleh dilakukan menerusi portal dan aplikasi yang semakan akaun penipu yang dibangunkan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (CCID) Polis Diraja Malaysia (PDRM) iaitu Semak Mule yang boleh diakses menerusi pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

“Semakan boleh dibuat menggunakan akaun bank atau nombor telefon yang diberikan pihak yang menawarkan skim pelaburan tersebut.

“Selain itu, sebelum membuat apa-apa pelaburan, orang ramai juga perlu sentiasa membuat semakan di Senarai Peringatan Pelabur SC untuk memeriksa senarai laman sesawang serta produk pelaburan syarikat dan individu yang tidak sah,” katanya.

Tegas beliau, bagi mengelakkan diri daripada menjadi mangsa penipuan pasaran modal, orang ramai perlu peka dan cakna akan formula TIPU iaitu akronim atau singkatan kepada tidak akan rugi, indah khabar dari rupa, peluang hanya sekali dan untung besar.

Katanya, sekiranya sesuatu pelaburan itu menjanjikan perkara itu ia menjadi indikator bahawa pelaburan tersebut adalah satu penipuan.