PKP di Sabah: Operasi peniaga makanan sehingga 8 malam

Kerajaan Sabah memberi kelonggaran tambahan dua jam beroperasi bagi peniaga makanan di lokaliti yang dikenakan PKP. -Gambar hiasan
Kerajaan Sabah memberi kelonggaran tambahan dua jam beroperasi bagi peniaga makanan di lokaliti yang dikenakan PKP. -Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah pada Sabtu memberi kelonggaran tambahan dua jam beroperasi bagi peniaga makanan di lokaliti yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun.

Jurucakap kerajaan negeri mengenai Covid-19 itu berkata, kelonggaran tersebut menyaksikan peniaga makanan antaranya pengusaha gerai, restoran dan kedai makan dapat menjalankan operasi mereka bermula jam 6 pagi hingga 8 malam.

"Sebelum ini, operasi perniagaan dihadkan sehingga jam 6 petang dan kelonggaran ini membolehkan pengusaha meneruskan perniagaan khususnya untuk berbuka puasa... kelonggaran ini berkuat kuasa hari ini (Sabtu)," menurutnya dalam kenyataan di sini Sabtu malam.

Beliau juga berkata, satu kluster baharu Covid-19 direkodkan pada Sabtu iaitu Kluster Dambai Inanam dengan jumlah kumulatif kes positif 19 orang dan kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis pertunangan di Kampung Dambai di Mukim Kionsom di sini.

"Kes ini melibatkan komuniti di tiga daerah iaitu Kota Kinabalu, Inanam dan Kuala Penyu... kluster bertambah parah apabila seorang daripada individu dijangkiti di Kuala Penyu adalah guru yang kemudian menjangkiti dua murid dalam kelas jagaannya," katanya.

Masidi juga berkata, Sabah mencatat 132 kes baharu Covid-19 pada Sabtu dengan empat daerah merekodkan jumlah tertinggi ialah Tawau (65 kes), Sandakan (19), Kota Kinabalu (16) dan Lahad Datu (13). - Bernama

Artikel Berkaitan: