Kelantan FC makin ampuh

Antara aksi menarik pertemuan JDT II dan Kelantan FC di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat. - Foto FB Johor Southern Tigers
Antara aksi menarik pertemuan JDT II dan Kelantan FC di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat. - Foto FB Johor Southern Tigers
A
A
A

KEJAYAAN mengikat Johor Darul Ta’zim (JDT) II pada aksi Liga Premier di Stadium Tan Sri Dato' Hj Hassan Yunos, Larkin pada Jumaat menunjukkan bahawa Kelantan FC semakin ampuh dari aspek taktikal.

Ketua jurulatih Kelantan FC, Marco Ragini berkata, sebagai pasukan baharu dibarisi ramai pemain muda, corak permainan yang dipamerkan anak buahnya semakin hampir menyamai kelas permainan ditunjukkan pasukan lain di negara ini.

“Keputusan malam ini (tadi) adalah keputusan yang sangat penting. Ia menunjukkan mereka berada dalam kelas permainan yang sama dengan pasukan-pasukan lain.

“Malah, dalam setiap perlawanan yang dilalui, mereka mengumpul pelbagai pengalaman untuk meningkatkan prestasi dan kini ia semakin jelas khususnya dalam aspek taktikal,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Larkin.

Perlawanan itu menyaksikan pertembungan Kelantan FC dan JDT II berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Gol JDT II dijaringkan oleh Fernando Rodriguez Ortega pada minit ke-59 sebelum Kelantan FC menyamakan kedudukan menerusi Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-70.

Sementara itu, pengendali JDT II, Rafael Francisco Gil Sanchez berkata, beliau terpaksa akur dengan keputusan terbabit dengan mengganggapnya sebagai pengajaran kepada pemain.

“Kita ada banyak peluang untuk mencetak gol namun apabila bermain dengan ramai pemain muda, situasi seperti ini perlu kita terima.

Artikel Berkaitan:

"Apa pun saya tetap berpuas hati dengan persembahan mereka dan akan meneruskan misi untuk mengutip tiga mata penuh dalam perlawanan seterusnya,” katanya. - Bernama