Lumba haram ketika tarawih

Remaja antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan sekitar kawasan Manjung. - Foto: Ihsan PDRM
Remaja antara yang ditahan dalam Op Samseng Jalanan sekitar kawasan Manjung. - Foto: Ihsan PDRM
A
A
A

LUMUT - Empat individu ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) di sini kerana berlumba ketika orang lain menunaikan tarawih.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek berusia 16 hingga 24 tahun disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Menurutnya, dalam operasi yang bermula 13 April hingga Jumaat itu, sebanyak 23 motosikal disita dan tindakan diambil di bawah Seksyen 64(1) akta yang sama.

"Sepanjang tempoh tersebut, 248 motosikal diperiksa dan 178 saman dikeluarkan melibatkan pelbagai kesalahan.

"Kesalahan tertinggi melibatkan lesen memandu dan insurans sebanyak 31 saman diikuti nombor pendaftaran kabur atau fancy (31) dan ubah suai motosikal dengan 30 saman," katanya.

Operasi dilakukan pasukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung berdasarkan aduan daripada orang awam.

Nor Omar berkata, polis telah mengenalpasti beberapa kawasan yang menjadi tumpuan aktiviti lumba haram antara Jalan Batu 12 ke susur lampu isyarat WCE, Jalan Semarak Api dan Jalan Lumut- Sitiawan.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa supaya memantau pergerakan anak-anak mereka daripada terjebak dengan aktiviti lumba haram dan jenayah lain.

Artikel Berkaitan:

"Ibu bapa juga boleh dikenakan saman sekiranya membenarkan anak di bawah umur atau tiada lesen menunggang atau memandu kenderaan milik mereka," katanya.