Peningkatan imej premis MARA bantu jana ekonomi usahawan

Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun
Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun
A
A
A

Pelaksanaan inisiatif di bawah pelbagai pakej rangsangan ekonomi tahun 2020 menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memulihkan semula ekonomi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak terkecuali daripada menerima peruntukan di bawah pakej rangsangan tersebut apabila turut menerima RM50 juta bagi pelaksanaan segera kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan infrastruktur kecil seluruh Negara terutamanya di kawasan luar bandar.

Memetik kata-kata Pengerusi MARA, Datuk Azizah Mohd Dun: “MARA menyambut baik dana yang disalurkan kerajaan bagi menyelenggara premis yang manfaatnya bukan sahaja kepada usahawan tetapi juga memberi peluang kerja untuk kontraktorkontraktor kecil.”

MARA mempunyai 7,308 lot ruang niaga yang terdiri daripada 1,632 lot komersial, 3,475 arked, 1,799 bazar dan 402 lot-lot industri untuk disewa.

Lot-lot ruang niaga ini disewakan pada kadar yang lebih rendah daripada harga pasaran bagi membantu usahawan Bumiputera berniaga di premis yang lebih teratur dan memiliki prasarana moden serta kondusif.

Penyaluran dana kerajaan ini merupakan satu usaha yang signifi kan dalam usaha menaiktaraf imej premis dan disalurkan pada masa yang tepat kerana sebahagian daripada lot tersebut telah berusia lebih daripada 30 tahun.

Wajah baharu Seremban Plaza selepas proses transformasi.
Wajah baharu Seremban Plaza selepas proses transformasi.

Penyeragaman warna dan papan tanda bakal membentuk identiti imej korporat bagi premis perniagaan MARA dan dijangka mampu menarik minat pelanggan.

Artikel Berkaitan:

Di samping itu, penyelenggaran kecil lain seperti pembaikan sistem pengaliran kumbahan, peningkatan taraf tandas dan surau serta peningkatan sistem pencegahan kebakaran juga akan memberi keselesaan kepada pengguna selain daripada mengutamakan aspek keselamatan.

Berdasarkan peruntukan yang disalurkan, sebanyak 369 buah premis perniagaan terlibat merangkumi keseluruhan kerja-kerja penyelenggaraan sebanyak 1,217. Kerja-kerja selenggaraan ini turut memberi peluang kerja kepada kontraktor kelas G1, G2 dan G3.

Bagi memastikan ketelusan, proses pemilihan telah dilaksanakan secara sebut harga dan cabutan undi secara atas talian mengikut had nilai serta prosedur perolehan yang ditetapkan oleh kerajaan.

Bagi menggalakkan penyertaan lebih ra membenarkan perolehan dilaksanakan kepada beberapa pakej yang lebih kecil dan memastikan kerja dapat disiapkan dalam tempoh 3 hingga 6 bulan.

Selain manfaat yang diterima oleh usahawan dan kontraktor, projek ini turut membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

Kini, keseluruhan 1,217 kerja-kerja peningkatan imej premis telah siap diubahsuai dan memberi suntikan semangat baru kepada usahawan yang berniaga di premis berkenaan.

Bantuan MARA naikkan imej, prestasi

Usahawan di bawah naungan Majlis Amanah Rakyat (MARA) memuji inisiatif pihak berkenaan dalam memastikan perniagaan mereka terus terbela dan berdaya saing di peringkat negara mahupun antarabangsa.

Dr Irma Shida (Plaza Larkin, Johor)
Dr Irma Shida (Plaza Larkin, Johor)

Pengasas produk kecantikan jenama Dr Irma Skincare, Dr Irma Shida Abu Samah menzahirkan ucapan terima kasih kepada MARA kerana sentiasa menyokong dan membantu usahawan ketika era pandemik Covid-19.

“Sepanjang dua tahun dalam bidang kecantikan, saya banyak menerima bantuan daripada MARA, selain geran konsultasi pembungkusan produk Dr Irma Skincare untuk ditempatkan di pasaran seperti pasar raya AEON dan juga coop farmasi seluruh Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Beliau turut menguruskan sebuah klinik pergigian hampir 14 tahun bersama suaminya, Dr Mohd Yufi Ariandi Mohd Yusoff.

Dari segi prestasi perniagaan ketika ini, Dr Irma Shida berkata, ia menunjukkan peningkatan ketara kerana pelanggan selesa dengan fasiliti disediakan termasuk persekitaran baharu.

“Sebelum ni kedai saya di Galleria@Kotaraya, kemudian berpindah ke Plaza Larkin kerana merasakan tempat ini lebih sesuai.

“Selain itu, peningkatan imej juga adalah perlu dari semasa ke semasa dan ia harus mengikut trend terkini bagi menepati strategi pemasaran,” katanya.

Norayati (Arked Kota Belud)
Norayati (Arked Kota Belud)

Sementara itu, Pengurus Syarikat Arked Print, Norayati Karim Ghani berkata, beliau telah bekerjasama dengan pihak MARA hampir 15 tahun.

Selain pembiayaan untuk membeli mesin percetakan, Norayati turut diberi peluang mengembangkan perniagaannya di premis MARA.

“Kami menyediakan perkhidmatan banner, papan tanda, rubber stamps dan juga kad kahwin. Terbaru saya buat frame nama dengan tulisan khat. Alhamdulillah ia mendapat sambutan,” katanya yang mengutamakan aspek khidmat pelanggan, berikutan banyak pesaing.

“Saya juga akan menjaga kualiti produk. Ini penting bagi memastikan pelanggan puas hati dengan hasil yang disediakan,” katanya.

Fatin Juanah (Arked Kuala Berang, Terengganu)
Fatin Juanah (Arked Kuala Berang, Terengganu)

Bagi Pemilik Dessert House, Fatin Juanah Mohamad Saidi pula, antara kemudahan yang diterimanya daripada pihak MARA termasuklah premis sewaan dan juga pembiayaan PUTRA.

Menurutnya, peranan MARA amat penting kepada usahawan Bumiputera dalam memastikan ekonomi Perniagaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat bertahan ekoran pandemik.

“Dengan komitmen tinggi MARA ia membantu saya kembali bangkit. Selain menyediakan ekosistem yang baik, tanggungjawab yang diberikan juga telus sekaligus memberi anjakan kepada PKS,” katanya.

Beliau kini telah hampir tujuh bulan bekerjasama secara serius dengan pihak MARA dan mengakui ia dapat mewujudkan prestasi pertumbuhan sangat baik di samping memacu sinergi lebih besar.

“Saya fokus kepada perniagaan makanan dan minuman lebih dari lima tahun. Sebelum ini hanya terima tempahan dan membuat penghantaran. Namun, selepas imej premis diubahsuai tahun lalu, peniagaan saya berkembang dan lebih banyak kaedah jualan dibuat.

“Sebelum ini, pendapatan saya hanya RM3,000 tetapi sekarang mencecah RM9,000. Saya juga mampu menarik jauh lebih ramai pengunjung untuk datang ke sini,” katanya.

Nik Norlaili (KIM, Pengkalan Chepa)
Nik Norlaili (KIM, Pengkalan Chepa)

Pengurus IMedikel Foodceutical Industry /IMG Foods Industry, Nik Norlaili Asma Nik Mahmood berterima kepada MARA kerana memberinya peluang dan ruang untuk mengembangkan perniagaan makanan tambahan sejak hampir lima tahun.

Beliau menyewa di premis Kawasan Industri MARA (KIM) Pengkalan Chepa, Kelantan dan mengurus perniagaan menerusi produk yang dihasilkan bermula dari formulasi hingga ke produk siap dan lengkap dengan pendaftaran sebelum dipasarkan.

“Kemudahan premis MARA ini sangat membantu kami selaku usahawan untuk memperluaskan perniagaan. Struktur bangunannya sesuai dengan perniagaan kami dan memudahkan segala proses penyediaan produk dilakukan disini,” katanya.

Selain itu katanya, MARA banyak membantu dalam menganjurkan kursus-kursus yang diperlukan termasuk mengenai pensijilan Halal.

Beliau berterima kasih kepada pihak MARA Kelantan khasnya kerana telah menarik taraf kemudahan di kawasan KIM.

“Dari segi prestasi perniagaan, Alhamdullillah semakin memberangsangkan walaupun ekonomi kini kurang stabil di samping risiko persaingan.

“Syukur kerana syarikat masih lagi boleh tambah pengeluaran produk dan permintaan makin meningkat,” katanya.