Padah miliki permit pergerakan palsu

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki diberkas kerana dipercayai memiliki dokumen permit pergerakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) palsu di hadapan sebuah stesen minyak, Lebuhraya Seremban-Kuala Lumpur, awal pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, suspek ditahan kira-kira jam 6.10 pagi oleh anggota Balai Polis Sri Petaling semasa bertugas ronda cegah jenayah Sektor 21 menaiki MPV bersama team pemantau di lokasi berkenaan.

"Siasatan awal dijalankan, suspek dilihat memandu sebuah kereta jenis Honda City dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan untuk pemeriksaan.

"Pemeriksaan dijalankan menemukan 15 keping dokumen permit pergerakan PKPB dipercayai palsu yang mempunyai tandatangan dan cop balai polis," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Anuar berkata, suspek direman empat hari untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 22(d) Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) Pindaan 2021.

"Tindakan memalsukan permit pergerakan PKPB atas tujuan yang bertentangan dengan arahan semasa Majlis Keselamatan Negara (MKN) boleh dikenakan tindakan undang-undang," katanya.

Artikel Berkaitan: