Tak dapat duit, cucu ugut sembelih nenek

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang cucu mengugut untuk menyembelih neneknya dengan pisau sekiranya tidak diberikan wang dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Batu 16, Sungai Tiram Ulu Tiram di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, suspek yang berusia 23 tahun mengacukan pisau kepada warga emas berkenaan.

"Suspek yang tidak bekerja mengacukan sebilah pisau dan mengugut akan menyembelih neneknya yang berusia 75 tahun jika tidak diberikan wang.

"Warga emas berkenaan yang dalam ketakutan kemudian melarikan diri ke rumah jirannya untuk meminta pertolongan. Jiran tersebut kemudian menghubungi polis," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Menurut Mohd Sohaimi, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Ulu Tiram menahan suspek di Kampung Batu 16 Sungai Tiram di sini kira-kira jam 12.05 malam pada Jumaat.

"Semasa tangkapan dibuat, polis merampas sebilah pisau berukuran 24 sentimeter (cm) panjang. Hasil semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah dan dua rekod jenayah dadah.

"Suspek direman empat hari bermula Jumaat. Kes disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan: