Paip gas bocor, laluan Subang - Glenmarie ditutup 25 hari

Rajah menunjukkan laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie yang ditutup serta laluan kontra yang dibuka.
Rajah menunjukkan laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie yang ditutup serta laluan kontra yang dibuka.
A
A
A

SHAH ALAM - Laluan dari arah Subang menghala ke Glenmarie ditutup selama 25 hari bagi kerja membaik pulih saluran paip gas yang dilaporkan bocor di projek pembinaan LRT 3 di Jalan Persiaran Kerjaya, Seksyen U1 di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, laluan kontra akan dibuka bagi mengelakkan kesesakan teruk di laluan itu.

"Laluan kontra bermula dari simpang tiga Temasya Kasih hingga ke Bangunan Palm Grove. Jarak laluan dua lokasi tersebut adalah kira-kira 350 meter.

"Tempoh masa penutupan jalan dan pembukaan laluan kontra dijangka selama 25 hari (tempoh membaik puih djangka selesai)," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Baharudin berkata, setelah perbincangan dibuat, pihak bomba dan penyelamat telah menyarankan supaya menutup sepenuhnya laluan itu atas faktor-faktor keselamatan pengguna jalan raya dan kawasan sekitar.

"Untuk makluman lokasi penutupan jalan ini merupakan penghubung laluan utama dari Subang menghala ke Glenmarie.

"Sekiranya penutupan penuh dijalankan akan menyebabkan kesesakan teruk ke arah Lebuhraya Persekutuan menghala ke Shah Alam," katanya.

Beliau berkata, sepanjang tempoh itu, bantuan rondaan daripada Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam dan pihak MRT bagi menilai tahap kesesakan lalu lintas dan keselamatan pengguna jalan raya.

Artikel Berkaitan:

"Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk memandu secara berhemah, patuhi isyarat lalu lintas dan berhati-hati semasa melalui laluan kontra tersebut," katanya.

Baharudin memaklumkan, saluran paip itu adalah saluran utama bagi membekal gas asli kepada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.