Cukuplah perlekeh kebijaksanaan jentera Pas-UMNO: Ismail Sabri

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

SEMENYIH - Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membidas kenyataan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad mengatakan Pas tidak akan menyokong BN dalam PRK DUN Semenyih.

Menurutnya, baru-baru ini beliau telah mempengerusikan mesyuarat yang turut disertai Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan bagi menyusun program bersama dari tempoh berkempen hingga hari mengundi.

Tegas beliau, kenyataan Dr Mahathir hanyalah sebagai perang saraf untuk memecah belah hubungan UMNO-Pas dan untuk mengelirukan jentera kedua-dua parti.

“Namun saya yakin jentera UMNO dan Pas malah pengundi tidak mudah terpengaruh dengan strategi perang saraf ini.

“Kepada PH, saya nasihatkan cukuplah memperlekeh kebijaksanaan jentera UMNO-Pas dan pengundi Semenyih,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah beliau, tindakan Dr Mahathir membuat kenyataan sebegitu memperlihatkan ketakutan ‘amat sangat’ PH terhadap kerjasama UMNO-Pas.

Bahkan, Ahli Parlimen Bera itu hairan mengapa Dr Mahathir yang mengeluarkan kenyataan dan bukannya Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Kerjasama UMNO-Pas begitu jelas ditunjukkan semasa Hari Penamaan Calon apabila pemimpin Pas turun berarak mengiringi calon BN.

Artikel Berkaitan:

“Kehadiran mereka tidak menggambarkan kenyataan Dr Mahathir malah beberapa pemimpin Pas juga telah menafikan kenyataan beliau,” ujarnya.

Terdahulu, Dr Mahathir memberitahu Abdul Hadi sendiri membuat pengakuan tersebut ketika mereka mengadakan pertemuan di Yayasan Al-Bukhary, Putrajaya.

“Dalam pertemuan itu, kami bincang soal politik. Banyak soal politik. Mengenai pihak parti Pas dalam pilihan raya kali ini, dia tidak akan menyokong pembangkang (UMNO).

“Pas tidak akan menyokong UMNO dalam PRK kali ini. Tetapi ada juga pengakuan secara bertulis dan ditandatangani,” kata Dr Mahathir.