X

Kindly register in order to view this article
!

Pukul 'bodyguard' puasa: Majikan, pembantu peribadi mengaku tidak bersalah

Chung Chee Yang, 43, tiba di mahkamah dengan memakai baju T berkolar biru manakala Choo Hin Voon berbaju T putih tiba pada jam 9.10 pagi, didakwa masing-masing atas lima dan dua pertuduhan di Mahkamah Klang pada Khamis.
A
A

KLANG - [DIKEMASKINI] Seorang majikan bersama pembantu peribadinya didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Khamis berhubung pertuduhan mencederakan dua pengawal peribadi minggu lalu.

Chung Chee Yang, 43, yang juga suspek utama dalam kes pukul dua lelaki yang berpuasa pada 1 Ramadan lalu bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan antaranya mengarahkan pembantu peribadinya mencederakan dua pengawal peribadinya minggu lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, P Sarulatha.

Mengikut pertuduhan pertama, Chee Yang didakwa menakutkan secara jenayah terhadap Mohd Azminizam Zulkepli, 44, iaitu ugutan hendak menyebabkan kecederaan parah menggunakan pistol.

Dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, dia didakwa bersubahat dengan Hin Voon, iaitu mengarahkannya untuk mencederakan Ahmad Shamsuri Zailani, 27 dan Mohd Azminizam dengan menggunakan rotan.

Pertuduhan mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 324 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika disabit kesalahan.

Bagi pertuduhan keempat, tertuduh didakwa mengeluarkan perkataan-perkataan seperti puasa dan ALLAH yang mana ia boleh didengar oleh Ahmad Shamsuri, dengan niat melukakan perasaan keagamaan orang tersebut.

Kali ini pertuduhan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun, atau denda atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan kelima, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan di luar halaman rumah, di Jalan Batu Nilam, Bandar Bukit Tinggi di sini, antara jam 10.30 hingga 11.30 malam, pada 13 April lalu.

Sementara itu, di mahkamah sama, pembantu Chee Yang iaitu Choo Hin Voon, 43, didakwa dengan dua pertuduhan iaitu menyebabkan kecederaan ke atas Mohd Azminizam dan Ahmad Shamsuri menggunakan rotan di lokasi, pada waktu dan tarikh sama.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Ashyraf Ashy'ari Kamaruzaman mencadangkan Chee Yang diberi ikat jamin sebanyak RM200,000 manakala Hin Voon, RM100,000 bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis sekali sebulan.

"Kadar itu sangat munasabah kerana kedua-dua tertuduh adalah seorang peniaga selain mengambil kira kepentingan awam, memandangkan kes ini mendapat liputan meluas seluruh negara," katanya.

Bagaimanapun, Chee Yang melalui peguam, Abdul Hakeem Aiman dan Hin Voon yang diwakili peguam Loi Yap Loong merayu ikat jamin dikurangkan atas faktor tahap kesihatan serta tanggungan keluarga.

Abdul Hakeem berkata, kadar yang dicadangkan itu adalah tidak munasabah, keterlaluan dan bersifat menghukum.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Sarulatha membenarkan Chee Yang diikat jamin sebanyak RM50,000 manakala Hin Voon sebanyak RM20,000 serta syarat tambahan yang dicadangkan oleh pihak pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 23 Jun depan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua 'bodyguard' dirotan, diacu pistol kerana berpuasa

Pukul pengawal peribadi sebab puasa, empat lelaki direman


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!