100 ekor ayam golek untuk asnaf

Golongan asnaf DUN Tanjung Lumpur tahun ini menerima ayam golek sebagai juadah berbuka puasa.
Golongan asnaf DUN Tanjung Lumpur tahun ini menerima ayam golek sebagai juadah berbuka puasa.
A
A
A

KUANTAN - Kebiasaan golongan asnaf menerima pek makanan, namun Ramadan kali ini cukup berbeza apabila mereka di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Lumpur menerima seekor ayam golek sebagai hidangan berbuka.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar berkata, sebanyak 100 ekor ayam golek diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti pihaknya.

Berbanding sebelum ini, beliau berkata, pihaknya hanya mengagihkan bubur lambuk dan kurma kepada golongan berkenaan.

"Kita tahu ada dalam kalangan mereka tidak mampu untuk membeli ayam golek kerana harganya mahal tapi sepanjang Ramadan ini mereka menerima juadah ini secara percuma," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian selepas mengagihkan 100 ekor ayam golek kepada golongan asnaf di sekitar perkampungan Sungai Isap di sini pada Rabu.

Rosli berkata, agihan juadah itu akan diadakan pada setiap minggu dan turut mengharapkan sumbangan daripada orang ramai bagi menjayakannya.

Jelasnya, setakat ini, pihaknya hanya mengagihkan juadah ini pada hari Isnin sehingga Khamis sepanjang bulan Ramadan.

"Sepanjang Ramadan kita dapat agihan juadah ini sekitar 12 kali dengan peruntukan yang diperlukan lebih RM15,000.

Artikel Berkaitan:

"Kalau ikutkan harga sekitar ayam golek ialah RM18 seekor dan disebabkan itu kita turut mengharapkan bantuan daripada semua pihak diperlukan," katanya.

Orang ramai yang ingin menderma boleh menyalurkan sumbangan menerusi nombor akuan Maybank 556226402359 atas nama dana kebajikan rakyat DUN Tanjung Lumpur.