X

Kindly register in order to view this article
!

Permit import jejas industri ternakan ayam negara: FLFAM

Suasana jualan di sebuah gerai menjual ayam mentah ketika tinjauan di Pasar Jalan Raja Bot sempena pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2021 yang bermula pada Selasa - Foto Bernama (Gambar kecil: Tan Chee Hee)
A
A

SHAH ALAM - Cadangan kerajaan mengeluarkan permit import (AP) bagi bekalan ayam untuk mengatasi masalah kenaikan harga yang mendadak di pasaran dikhuatiri akan menjejaskan industri ternakan ayam negara.

Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Penternak Malaysia (FLFAM), Tan Chee Hee berkata, langkah itu akan memberi kesan buruk dan memudaratkan lebih 10,000 penternak.

"Kami tidak menyokong cadangan ini kerana ia hanya akan menjejaskan industri ternakan ayam pedaging negara.

"Industri ternakan ayam mencatatkan nilai pengeluaran sehingga RM27 juta setiap hari dengan 2.2 juta ekor ayam dipasarkan sehari," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Kerajaan pada Isnin dilaporkan tidak menolak kemungkinan mengeluarkan AP bagi membekalkan bekalan ayam segara ke dalam negara bagi menstabilkan harga.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, cadangan bertujuan mengatasi kenaikan mendadak harga ayam itu sedang dibincangkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).

Berikutan itu, Chee Hee berkata, pihaknya berharap kerajaan dapat meneliti semula cadangan itu agar ia tidak memberi kesan negatif kepada mana-mana pihak.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, kenaikan harga ayam berlaku bukan disebabkan kekurangan bekalan, sebaliknya berpunca daripada kenaikan harga bahan mentah utama makanan ternakan.

Katanya, bahan mentah seperti jagung bijian dan kacang soya naik lebih 60 peratus sejak September tahun lalu.

"Misalnya harga jagung bijian hari ini ialah RM1,300 satu tan metrik berbanding RM900 pada Ogos tahun lalu.

"Harga kacang soya sekarang pula melonjak ke RM2,600 satu tan metrik berbanding RM1,650 pada Ogos tahun lalu, sekali gus menyaksikan kenaikan harga hampir RM1,000," katanya.

Tambah beliau, keadaan itu mempengaruhi harga pasaran semasa ayam ketika ini kerana penternak sendiri terpaksa mengeluarkan kos yang tinggi iaitu purata RM6 bagi setiap kilogram ayam.

Menurutnya, harga ayam juga bergantung pada penawaran dan permintaan.

Berdasarkan tinjauan pasaran yang dilakukan Sinar Harian, harga ayam hidup terus dari ladang ketika ini dijual pada harga paling rendah RM6.10 sekilogram.

Dalam pada itu, Chee Hee yakin kerajaan akan dapat mencari jalan penyelesaian terbaik untuk mengatasi masalah kenaikan harga itu selain daripada mengeluarkan AP.

"Kami sebagai penternak berharap ada penyelesaian 'menang-menang' kerana penternak juga menanggung kos yang tinggi.

"Kita bukanlah negara yang menjual ayam dari ladang yang mahal. Kalau dibandingkan dengan negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, ayam yang dijual di negara terbabit sudah RM7 sekilogram," katanya.

Beliau berkata, penetapan harga siling ayam menerusi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) juga dapat mengawal harga daripada terus naik.

ARTIKEL BERKAITAN: Bekalan ayam cukup, tidak perlu keluar permit import


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!