Tabung Khas Wanita dapat sambutan luar biasa
ALOR SETAR - Tabung Khas Wanita yang merupakan sebahagian daripada 10 janji manifesto PH Kedah kini dibuka kepada pemohon yang layak, berkuatkuasa 1 Februari lalu.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pembasmian Kemiskinan dan Kebajikan, Halimaton Shaadiah Saad berkata, tabung ini diwujudkan atas keprihatinan membantu golongan wanita kurang berkemampuan atau dilanda musibah, bencana atau kesempitan hidup sebagai ketua keluarga.
Menurutnya, sumbangan daripada tabung ini diberikan secara ‘one off’ dengan jumlah maksimum RM1,000.
“Tabung Khas Wanita ini lewat dilancarkan susulan kita mencari mekanisme terbaik bagi permudahkan permohonan, ia diselaraskan bawah Bahagian Perancang Ekonomi Negeri (BPEN) dan sebuah jawatankuasa antaranya, dianggotai wakil JKM dan pejabat Menteri Besar,” katanya.
Halimaton Shaadiah berkata, sebanyak RM500,000 diperuntukkan kepada Tabung Khas Wanita, yang dikendalikan badan pengurusan kerajaan negeri yang dilantik.
“Tabung ini juga khusus untuk membantu golongan wanita yang mahu memajukan perniagaan kecil atau perusahaan di rumah secara kecil-kecilan, bagi meningkatkan taraf ekonomi seperti berniaga nasi lemak, menjual kuih, anyaman dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, antara syarat ditetapkan kepada pemohon adalah anak kelahiran Kedah, bermastautin di negeri ini selama 10 tahun selain pendapatan isi rumah RM3,000 ke bawah.
“Kita cuba bantu dan akan kaji setiap permohonan, kategori juga diperluaskan kepada ibu tunggal, wanita yang ditinggalkan suami, wanita yang menjaga suami terlantar, wanita tidak berkahwin dan memelihara anak angkat,” katanya. Halimaton Shaadiah berkata, permohonan boleh dibuat dengan mengisi borang yang diperoleh di Pusat Khidmat ADUN atau pejabat penyelaras Dun kawasan masing-masing.
“Untuk mudahkan, pemohon juga boleh isi borang menerusi kaedah imbas kod bar pada risalah selain muat turun borang di laman web kerajaan negeri Kedah, permohonan dibuka sepanjang tahun. Hanya isi dengan lengkap dan dapatkan pengesahan diperlukan,” katanya.
Menurutnya, pihaknya berharap data maklumat diisi dengan lengkap agar setiap permohonan dapat dipertimbangkan susulan tertakluk pada prosedur operasi standard (SOP).
“Pemohon yang gagal akan dimaklumkan agar mereka tidak ternanti-nanti keputusan. Beberapa pejabat ADUN sudah pun diserbu bagi mendapatkan borang permohonan namun jumlah pemohon tidak dapat dipastikan kerana belum dihantar kepada jawatankuasa,” katanya.
Tambahnya, borang ini juga sebagai pengkalan data bagi memudahkan pemantauan selain untuk memudahkan bantuan diagihkan, sekiranya pemohon lebih sesuai dirujuk untuk bantuan lain seperti JKM, persekolahan, zakat dan sebagainya.