Kes rakyat Malaysia di Kemboja didalangi warga tempatan

Seorang tahanan, Mark Roger,24, didukung oleh seorang rakannya selepas mengalami kecederaan pada kaki di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUCHING - Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah tidak menolak kemungkinan kes penipuan 47 warga Malaysia yang ditangkap dan ditahan di penjara Poi Pet, Kemboja didalangi rakyat tempatan.

Katanya, laporan polis mengenai kes berkenaan akan dibuat, tetapi beliau enggan mengulas lebih lanjut dan menambah beliau serahkan perkara itu kepada pihak polis untuk menyiasat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan pada sidang media di sini hari ini tentang kemungkinan kes itu didalangi rakyat tempatan (Sarawak) memandangkan kebanyakan mangsa, iaitu seramai 40 orang berasal dari Sarawak.

"Kami ada mendapat maklumat tetapi biarlah pihak polis membuat siasatan," kata Fatimah dan menambah bahawa pihak polis sedang berhubung dengan bekas tahanan terbabit.

"Pihak polis Kemboja mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan tetapi kami tidak boleh mendedahkan.

"Pihak polis tahu apa hendak dibuat. Misi kami ialah untuk membawa mangsa pulang dan tugas kami sudah selesai dan kini terpulang kepada agensi lain untuk meneruskan apa yang perlu dilakukan," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Santubong yang juga bekas timbalan speaker Dewan Rakyat, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang turut sama dalam delegasi kerajaan negeri Sarawak ke Kemboja dan turut hadir pada sidang media berkenaan berkata banyak maklumat yang diperolehi tidak boleh dikongsikan.

Semasa ditanya apakah peranan Ahli Parlimen Julau, Larry Sng dalam rundingan pembebasan 47 rakyat Malaysia terbabit, Fatimah berkata, beliau tidak tahu menahu pembabitan beliau dalam rundingan itu.

Seramai 47 rakyat Malaysia terbabit ditangkap pada 11 Disember lalu kerana disyaki terbabit dalam pengendalian judi haram di negara berkenaan dan ditahan di penjara Poi Pet, Kemboja sebelum dibebaskan semalam.

Mereka tiba di KIA dengan menaiki pesawat yang disewa JC Airlines, dari Seam Reap dan tiba di KIA kira-kira jam 3.10 petang tadi, manakal empat orang dari semenanjung menaiki pesawat AirAsia ke Kuala Lumpur. - Bernama