Usah cabar saya serahkan bukti: Dr Ismail

Dr Ismail menunjukkan salinan transaksi wang daripada UMNO kepada Pas.
A
A

ALOR SETAR - Pengerusi Amanah Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh menegaskan tiada keperluan untuk beliau serahkan salinan transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO kepada Pas untuk membuktikan beliau bercakap benar.

Ini kerana, katanya, semua dokumen terlibat dalam pengetahuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dan yakin siasatan akan dilakukan.

Beliau juga percaya jumlah dana yang disalurkan antara dua parti itu melebihi RM200 juta, tidak termasuk dana melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM90 juta.

“Saya yakin SPRM sudah ada dokumen terlibat, SPRM akan bertindak pada bila-bila masa, tak perlu cabar saya untuk serahkan bukti kerana SPRM akan lakukan tugas mereka dengan baik. Untuk apa lagi saya perlu serahkan salinan yang ada pada saya,” katanya.

Menurutnya, kepimpinan Pas khususnya Pas Kedah tidak perlu mencabar beliau kerana lambat laun pemimpin parti itu akan didakwa juga.

“Jangan gelojoh sangat nak masuk penjara, sabarlah. Banyak lagi dokumen transaksi, saya tak perlu sebutlah. Yang saya dedahkan, RM1 juta dan RM1.5 juta memang ada pada saya sejak dulu,” katanya.

Dr Ismail berkata, antara dokumen transaksi bank terbabit dibayar dari pejabat UMNO kepada Pas Terengganu dan Jabatan Pilihanraya Pas Pusat serta penganjuran program parti.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi terhadap kenyataan Pas Kedah yang mencabar beliau mengemukakan bukti berhubung dakwaan pernah melihat slip transaksi bank membabitkan dana daripada UMNO ke akaun Pas.

“Pas Kedah cabar saya tunjuk bukti dalam tempoh 72 jam, namun saya dedahkan bukti itu kurang daripada tempoh itu. Apabila bukti sudah ada, saya dedahkan untuk buktikan saya bercakap benar,” katanya.

Menurutnya, beliau tidak akan membuat tuduhan palsu dan tampil kerana memiliki bukti sahih.

“Selaku Exco Agama dan sebagai orang Islam, saya amat menjaga integriti dan percakapan saya, apatah lagi apabila membabitkan tuduhan,” katanya.

Dr Ismail berkata, butiran kes itu dalam pengetahuan beliau kerana merupakan bekas ahli Pas dan pernah memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Pas Kedah.

“Saya tahu butirannya, sebab yang terlibat itu kawan-kawan saya dulu, yang dedah pun kawan saya. Butiran terperinci dalam pengetahuan saya, janganlah suruh saya dedah lagi, yang ini pun tak boleh jawab,” katanya.

Menurutnya, cubaan Pas Kedah mencemar integriti beliau sebagai Exco Agama gagal kerana bukti yang dimaksudkan itu kini berada pada SPRM.

“Mereka cuba jejaskan nama baik saya, ini peluang untuk tunjukkan bahawa saya berbohong dan tiada integriti. Siapa yang bohong sebenarnya? Saya ada bukti! Sebaliknya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang berbohong selama lebih setahun,” katanya.

Dr Ismail berkata, rakaman audio milik Nik Mohamad Abduh diperakui betul oleh Jabatan Forensik di United Kingdom, malah menyebut dengan jelas berhubung penerimaan dana daripada UMNO.

“Ini antara punca Pas menarik balik saman terhadap Sarawak Reports di Mahkamah Tinggi London. Jika kes itu berlangsung, akan berlaku pendedahan bersiri dan lebih banyak bukti akan didedahkan. Saya percaya kes ini akan lebih menarik pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, biarlah rakyat membuat penilaian terhadap Pas yang dilihat sering berdolak-dalik dalam percakapan mahupun pendiriannya.