'Harga barangan masih melambung di seluruh negara'

Shazni Munir
Shazni Munir
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda Pakatan Harapan (PH) menyindir senarai panjang usaha yang dibuat oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung isu harga barangan di negara ini.

Ketuanya, Shazni Munir Mohd Ithnin berkata, masalah harga barangan yang melambung di seluruh negara masih berlaku dan belum selesai.

“Untuk bergerak ke depan, pertama sekali menteri dan timbalan menteri perlu keluar daripada sindrom penafian.

“Usah berlindung di sebalik beberapa pasar raya yang menjual ayam sejuk beku dengan harga rendah. Bezakan antara harga ayam segar dan harga ayam sejuk beku.

“Memukul rata kedua kategori ini dengan akhirnya membuat kesimpulan bahawa harga ayam masih terkawal adalah lelucon yang mengundang tawa orang ramai.,” katanya menerusi kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Alexander pada Ahad yang berkata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sentiasa memandang serius terhadap isu kenaikan harga barangan yang boleh memberi kesan kepada kos sara hidup rakyat di negara ini.

Shazni menambah, nasihat yang diberikan oleh Alexander agar pengguna menggunakan aplikasi Price Catcher juga boleh dinilai semula.

“Misalnya kalau semakan dibuat pada aplikasi itu dan harga ikan kembung yang rendah adalah sejauh sembilan kilometer daripada lokasi semasa, adakah pengguna perlu bergerak sejauh itu untuk dapatkan sekilogram ikan kembung dengan harga yang munasabah?” Soalnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau yang merupakan Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, lebih malang lagi apabila Alexander langsung tidak menyentuh tentang harga minyak masak yang telah berbulan melambung tinggi dan tidak turun.

“Bahkan sempat pula beliau titipkan pesan agar rakyat Malaysia menjadi pengguna yang bijak.

“Aduhai, kalau itulah mauduk besar yang mahu disinggung, lebih baik beliau ‘hilang’ terus pun tidak mengapa,” katanya.

Shazni turut mempersoalkan mengapa KPDNHEP tidak menetapkan harga siling berkenaan perkara tersebut.

“Kita tercari-cari juga dalam kenyataan enam muka itu kalau-kalau ada diumumkan harga siling barangan. Tiada. Kalau inilah kualiti menteri kabinet yang ada sekarang, tidak peliklah mengapa tempelan #KerajaanGagal masih terus melekat,” sindirnya.