Pekerja migran ditindas, dieksploitasi

Pekerja asing dijanjikan upah yang tinggi dan hidup senang-lenang di Malaysia oleh ejen-ejen mereka.
Pekerja asing dijanjikan upah yang tinggi dan hidup senang-lenang di Malaysia oleh ejen-ejen mereka.
A
A
A

SEORANG pekerja lelaki di restoran menguli adunan roti canai seperti seorang pakar. Tetapi dia sebenarnya tidak mempunyai latihan formal. Tiba dari Bangladesh tiga tahun lalu, dia hanya mempelajari kemahiran itu ketika bekerja.

Di sebuah restoran lain, seorang tukang masak berdiri di depan dapur panas untuk menyediakan mi Hokkien. Dia tidak pernah mendengar apatah lagi merasai hidangan itu sehinggalah tiba di Malaysia dari Myanmar dua tahun lalu.

Sementara itu, di sebuah gerai nasi lemak, seorang lelaki warga Indonesia ligat bekerja menyediakan sambal istimewanya. Dia membungkus nasi lemak untuk pesanan bawa pulang dan sehingga pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini, dia turut menjadi pelayan.

Ini adalah tiga contoh daripada ribuan warga asing yang datang ke Malaysia dengan harapan diberikan peluang untuk bekerja demi meneruskan sebuah kehidupan.

Bagaimanapun kebanyakan mereka bekerja secara haram.

Setelah memasuki Malaysia tanpa dokumen sah atau menggunakan visa pelajar, mereka terpaksa bergantung kepada belas kasihan majikan yang sebaliknya memaksa mereka bekerja sehingga 14 jam sehari tanpa hari rehat atau cuti.

Setiap daripada mereka mempunyai kisah untuk diceritakan – kisah bagaimana mereka menjual harta pusaka keluarga atau mencagarkan tanah nenek moyang demi membayar ejen dan orang tengah untuk datang ke Malaysia, negara yang mereka anggap penuh dengan peluang untuk mencari ‘periuk emas’.

Episod kesusahan, kekecewaan dan putus asa adalah kisah biasa dalam cerita mereka selain kisah ejen yang licik dan majikan yang menggunakan mereka untuk melakukan pelbagai jenis kerja.

Artikel Berkaitan:

Seperti ribuan yang lain, Amin, seorang warga Bangladesh berusia 29 tahun yang bekerja di sebuah kilang di Nilai, Seremban mempunyai kisah sedih untuk diceritakan.

Beliau memasuki negara ini dengan visa pelajar kira-kira tujuh tahun lalu dan akhirnya mendapat permit kerja yang sah melalui program 6P yang dilancarkan pada 2016.

Amin diminta membayar sebanyak RM8,000 kepada institut pendidikan di Bangladesh bagi menyediakan visa pelajar.

Sebanyak RM20,000 lagi terpaksa dibayar kepada ejen Bangladesh untuk mengaturkan dokumen perjalanan dan tiket penerbangan.

Jumlah pekerja asing mengikut negara setakat tahun 2020
Jumlah pekerja asing mengikut negara setakat tahun 2020

Tiba di Malaysia, dia bermula dengan defisit besar dan ejen memberi alasan bayaran tinggi yang dibuatnya adalah sebagai ‘yuran pengambilan pekerja’.

Menurut Amin, adalah normal untuk membayar sejumlah caj yang besar kepada ejen di Bangladesh dan kebanyakan mereka tahu wang yang dibayar adalah untuk memudahkan proses.

“Semua orang bayar, jadi saya pun bayar. Ada rakan-rakan saya yang membayar jumlah yang lebih besar. Ejen itu berjanji kami akan dapat bekerja dan mendapat upah sebaik tiba di Malaysia,” katanya.

Sehingga mendapat dokumen sah bekerja di Malaysia, setiap tahun Amin terpaksa membayar RM6,000 sebagai yuran pembaharuan visa pelajarnya sehinggalah mendapat permit kerja.

Oleh kerana dia bekerja secara haram antara 2014 sehingga 2016, pemotongan dibuat daripada gaji bulanannya.

“Saya tidak tahu mengapa majikan saya berbuat demikian dan apa yang saya diberitahu adalah ia adalah 'yuran pengambilan pekerja' yang perlu dibayar kepada ejen tempatan,” katanya.

Shamin pula tidak sebertuah Amin. Dia datang ke Malaysia dari Bangladesh lima tahun lalu ketika berusia 18 tahun, tanpa sebarang tawaran pekerjaan.

Dia juga membayar RM20,000 kepada ejen tempatan. Bagaimanapun Shamin tidak mengetahui tujuan bayaran itu dibuat.

“Ejen itu berkata, dia memerlukan wang tersebut untuk menguruskan dokumen perjalanan kami, tetapi sebenarnya saya membayar sendiri tiket penerbangan. Saya tidak tahu mengapa mereka mengambil begitu banyak wang, tetapi kami semua membayarnya,” katanya.

Shamin turut mempunyai masalah lain. Pasportnya kini di tangan ejen Malaysia menyebabkan dia tidak boleh mendapatkan pekerjaan sepenuh masa sebaliknya terpaksa melakukan pelbagai kerja-kerja rencam mengikut arahan ejen.

Gajinya dibayar mengikut jam bekerja dan bergantung perbincangan antara majikan dan ejen.

“Lebih panjang masa saya bekerja, lebih banyak upah saya boleh dapat. Jadi saya sentiasa bekerja lebih masa,” katanya.

Shamin ketika ini bekerja di sebuah kilang peralatan tempat tidur di Seremban dengan pendapat antara RM1,400 sehingga RM1,650 sebulan.

Pada Julai tahun lalu, isu yuran pengambilan pekerja dan pemotongan upah pekerja asing menyebabkan syarikat terkemuka Top Glove Bhd dikenakan sekatan oleh Jabatan Kastam Dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP).

Pekerja tanpa dokumen sah atau menggunakan visa pelajar terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan mengikut arahan ejen dan majikan.
Pekerja tanpa dokumen sah atau menggunakan visa pelajar terpaksa melakukan pelbagai jenis pekerjaan mengikut arahan ejen dan majikan.

Dua bulan kemudian, dalam usaha membatalkan larangan itu, syarikat terbabit terpaksa membayar RM166 bilion sebagai ganti rugi kepada pekerja migran, lapor Los Angeles Times.

Jumlah itu jauh lebih tinggi daripada anggaran RM56 juta yang didedahkan Top Glove sebelum ini.

Akhbar itu memetik dokumen syarikat sebagai berkata, pembuat sarung tangan getah terbabit akan membayar pekerja dari Nepal kira-kira AS$1,500 (RM6,189) dan pekerja dari Bangladesh kira-kira AS$4,800 (RM19,804) untuk menampung yuran yang mereka bayar kepada agensi pengambilan pekerja di negara asal masing-masing.

Sehingga akhir Januari, Top Glove telah membuat bayaran pemulihan (remedi) berjumlah sehingga RM61 juta.

Bagaimanapun beratus-ratus ribu pekerja yang bekerja untuk perniagaan kecil dan sektor runcit mempunyai harapan tipis untuk mendapatkan semula wang yang dibayar di negara asal mereka.

Bukan hanya pekerja asing yang ditekan oleh ejen pengambilan pekerja, majikan juga terpaksa membayar sejumlah wang yang banyak kepada ejen dan satu-satunya cara untuk majikan mendapatkan kembali wang mereka adalah daripada pekerja asing ini sendiri.

Pengamal perubatan Cina, Liok Kok Liong yang menguruskan kedai ubat Cina berkata, beliau juga terpaksa mengharap ihsan ejen berikutan caj mereka yang terlalu tinggi.

“Bayaran kepada ejen untuk mendapatkan seorang pekerja Indonesia telah meningkat daripada RM4,000 kepada RM12,000 antara 2004 dan 2017. Pada masa sekarang, kami perlu membayar sekurang-kurangnya RM18,000, dan ini perlu dibayar sekali gus,” tegasnya.

Liok mengupah 10 pekerja Indonesia dan bayaran yang dibayarnya sebelum ini dikatakan untuk menyelesaikan dokumen perjalanan dan pekerjaan.

Sementara itu, Mahadi yang mengusahakan restoran selama 17 tahun berkata, ia akan menjadi lebih murah jika khidmat ejen dihapuskan.

“Mereka tidak diperlukan. Selagi saya boleh menyediakan dokumentasi yang betul kepada pihak berkuasa Malaysia, saya boleh menyingkirkan ejen-ejen tempatan,” katanya.

Persoalannya bagaimana Mahadi mendapatkan pekerja tanpa ejen?

“Saya mempunyai rakan-rakan di India dan mereka membantu saya untuk mendapatkan pekerja. Saya juga mempunyai hubungan dengan ejen Pakistan,” ceritanya.

No Image Caption

Namun dia mengakui turut membuat potongan gaji daripada pekerjanya untuk membayar kenalan yang ada di India dan Pakistan.

“Ia jumlah kecil berbanding dengan apa yang perlu saya bayar jika saya terpaksa melalui ejen Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun tidak semua majikan akan menggunakan cara sedemikian dan bagi mengelakkan kerumitan kertas kerja serta menghabiskan masa di pejabat kerajaan, mereka lebih suka menggunakan orang tengah.

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, M Saravanan berkata, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) menyatakan bahawa yuran penempatan pekerja bukan warganegara yang akan diambil bekerja di Malaysia, tidak boleh lebih daripada satu bulan gaji asas untuk bulan pertama.

Peruntukan ini katanya, juga memperuntukkan bahawa yuran penempatan boleh dikenakan sama ada ke atas majikan atau ke atas pekerja bukan warganegara.

Walau bagaimanapun katanya, jika bayaran telah dibayar oleh majikan, tiada yuran penempatan boleh dituntut daripada pekerja bukan warganegara.

Dalam satu laporan bertajuk 'Tanggungjawab perniagaan untuk mencegah dan menangani buruh paksa di Malaysia, 2019' terbitan Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menegaskan bahawa dasar dan amalan mengenai pengambilan pekerja asing amat bergantung kepada ejen dan pihak ketiga.

Urusan antara ejen dan pekerja asing 'disembunyikan' selagi ejen berjaya menyediakan buruh yang mencukupi untuk memastikan pengeluaran yang lancar untuk majikan membuat keuntungan.

Sementara itu, majikan secara tidak langsung memberi ‘lampu hijau’ kepada eksploitasi pekerja asing dan menggalakkan urusan yang tidak sesuai disebabkan oleh permintaan tenaga kerja yang tinggi.Menurut terbitan MEF tersebut, kebanyakan pekerja asing yang mempunyai sedikit pengetahuan tentang hak-hak mereka bimbang kehilangan pekerjaan.

Tersepit antara majikan yang mencari tenaga buruh murah dan ejen yang mahu mengaut untung cepat, para pekerja ini dieksploitasi dengan sedikit perlindungan daripada undang-undang.