Terengganu syor lantik MB sebagai pengerusi bersama MTN

Ahmad Samsuri bergambar bersama penerima gerqn hak milik tanah daerah Kemaman di Dewan Seri Amar, Chukai, Kemaman, hari ini.
A
A

KEMAMAN - Kerajaan Persekutuan diharap dapat mempertimbangkan cadangan kerajaan Terengganu agar Majlis Tindakan Negeri (MTN) turut dipengerusikan oleh menteri besar bagi negeri yang bukan di bawah PH.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya mencadangkan agar menteri besar dilantik sebagai pengerusi bersama MTN untuk memudahkan penyelarasan.

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri

Beliau berkata, ia kerana menerusi arahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini, pembentukan MTN untuk negeri yang bukan di bawah PH perlu dipengerusikan oleh seorang menteri kabinet sedangkan di negeri lain di bawah PH ia dipengerusikan oleh menteri besar dan ketua menteri masing-masing.

"Saya telah usulkan kepada Dr Mahathir supaya diterima cadangan Terengganu supaya di negeri yang bukan diperintah PH, menteri besar dilantik sebagai pengerusi bersama dalam MTN selain ia dipengerusikan menteri kabinet.

"Kita tak ada masalah peribadi dengan mana-mana menteri yang dilantik, tapi ia untuk memudahkan penyelarasan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan geran hak milik tanah kepada 80 penerima pada Majlis Penyampaian Geran Hak Milik Tanah Daerah Kemaman di Dewan Seri Amar, di Chukai, di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri menegaskan, arahan melantik menteri kabinet sebagai pengerusi MTN itu akan menyukarkan program pembangunan yang dikendalikan kerajaan persekutuan kerana MTN akan sepenuhnya menguruskan projek pembangunan dari kerajaan pusat tersebut yang dibuat menerusi jabatan dan agensi kerajaan seperti Jabatan Kerja Raya dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, usul itu dibangkitkan beliau pada pertemuan pucuk pimpinan Pas dengan Dr Mahathir di pejabat perdana menteri itu di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, kelmarin.

Selain Terengganu, Pahang dan Kelantan antara negeri yang ditadbir oleh pembangkang.