Polis buru lelaki disyaki dalang pembikinan dua video judi raya

Mohamad Zainal menunjukkan gambar suspek yang dikenali sebagai Loh Kee Hoe bagi membantu siasatan kes dua video raya promosi judi dalam talian ketika sidang media di IPD Dang Wangi pada Sabtu. - Foto Bernama
Mohamad Zainal menunjukkan gambar suspek yang dikenali sebagai Loh Kee Hoe bagi membantu siasatan kes dua video raya promosi judi dalam talian ketika sidang media di IPD Dang Wangi pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Polis sedang mengesan seorang lelaki yang dipercayai dalang sebenar pembikinan dua video Hari Raya Aidilfitri, yang mempromosi iklan perjudian secara dalam talian.

Lelaki yang kini dicari polis itu dikenali sebagai Loh Kee Hoe, 35, dan beralamat di Kuala Lumpur dan dia dikehendaki bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia dan Seksyen 4(1) (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, lelaki terbabit dipercayai terlibat dalam mengarah pembikinan dua video mempromosi perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial.

“Selain itu, polis juga sedang mengesan seorang lelaki dan wanita yang merupakan dua pelakon video kedua yang tular itu, untuk membantu siasatan kes ini,” katanya pada pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, di sini pada Sabtu.

Polis turut mengesahkan video pertama dan kedua iklan promosi judi itu adalah daripada produksi yang sama, dan walaupun pelakonnya berbeza polis percaya mereka mengenali antara satu sama lain, dan siasatan polis mendapati pelakon video itu dibayar RM180 seorang.

Beliau berkata, video pertama yang tular pada Jumaat dan video kedua yang mula tular pagi Sabtu, jelas sengaja dilancarkan pada bulan Ramadan sekali gus mencemarkan imej Islam dan bulan puasa.

Sehubungan itu, Mohamad Zainal menasihatkan orang ramai agar tidak berkongsi video-video yang salah di sisi undang-undang, dan meminta mereka yang mempunyai maklumat agar menghubungi pegawai penyiasat Asisten Superintendan Zairil Hazly Zulkifli di talian 017-4589997 atau balai polis berhampiran.

“Apa-apa kegiatan yang mempromosi judi adalah satu kesalahan,” katanya sambil memberitahu polis percaya mereka yang di sebalik pembikinan video itu adalah penganjur judi dalam talian di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Zainal berkata, lapan individu ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes itu dengan dua daripada mereka iaitu pengarah produksi dan jurukamera video berkenaan, direman sehingga 21 April, manakala enam lagi yang merupakan pelakon dalam video pertama dibebaskan.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam kenyataan pada Sabtu berkata, lima lelaki dan tiga wanita ditahan kerana disyaki terlibat dalam penggambaran sebuah video yang mempromosikan perjudian secara dalam talian, yang tular di media sosial sejak Jumaat sehingga membangkitkan kemarahan orang ramai.

Kesemua individu yang ditahan itu dipercayai terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juruvideo, jurukamera, penerbit, pengarah penggambaran video berkenaan.

Sementara itu, ditanya mengenai kes selebriti terkenal Neelofa yang didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan ketika majlis perkahwinannya, Mohamad Zainal berkata siasatan hampir lengkap. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu

[DIKEMAS KINI] Lagi iklan raya promosi judi disiasat

Tular iklan Hari Raya Aidilfitri ajak berjudi