X

Kindly register in order to view this article
!

Video raya promosi judi: Polis tahan lapan individu

Acryl Sani
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan lapan individu termasuk tiga wanita pada Jumaat yang dikesan terbabit dalam pembikinan iklan bertemakan sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan mempromosikan perjudian dalam talian.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, kesemua mereka berusia antara 24 hingga 47 tahun itu disyaki terlibat sebagai pelakon, ejen artis, juru video dan kamera serta produser dan pengarah video.

"Kesemua individu yang ditangkap mengaku menerima bayaran bagi pembikinan penggambaran video terbabit yang dibuat di dua lokasi iaitu Ampang serta Hulu Langat, Selangor pada 13 Mac lalu.

"Kesemua tangkapan ini akan direman untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Menurutnya, usaha mengesan dalang sebenar di sebalik pembikinan video itu masih diteruskan.

Dalam pada itu katanya, pihaknya telah menerima sebanyak 38 laporan polis berkaitan video terbabit.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terbabit dengan apa jua aktiviti perjudian di negara ini.

"Orang ramai juga dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi kerana siasatan masih dijalankan dan mereka yang mempunyai sebarang maklumat boleh memaklumkan pihak polis," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PDRM siasat penerbit, pelakon iklan raya promosi judi online


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!