Sarawak tangguh program libatkan kehadiran fizikal pemimpin negeri

Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan semua program melibatkan kehadiran fizikal pemimpin negeri, termasuk ketua menteri,selama dua minggu bermula Sabtu. Foto 123RF
Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan semua program melibatkan kehadiran fizikal pemimpin negeri, termasuk ketua menteri,selama dua minggu bermula Sabtu. Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Kerajaan negeri Sarawak menangguhkan semua program melibatkan kehadiran fizikal pemimpin negeri, termasuk Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selama dua minggu bermula Sabtu.

Menurut satu surat yang diedarkan kepada semua kementerian, pejabat residen, ketua jabatan dan badan berkanun yang ditandatangani Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion, arahan sama turut terpakai kepada penjawat awam yang tidak dibenar mengadakan mesyuarat secara fizikal sepanjang tempoh tersebut.

Jaul berkata, arahan itu dikeluarkan selaras keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri pada 15 April susulan peningkatan kes Covid-19 di Sarawak.

“Mana-mana acara atau program yang dijadual untuk dianjurkan termasuk melibatkan ketua menteri adalah ditangguhkan dalam tempoh dua minggu ini (bermula hari ini),” katanya, menambah perjalanan keluar daerah juga tidak dibenarkan kecuali untuk keperluan mendesak dan mendapat kebenaran ketua jabatan.

Pada Jumaat, Sarawak mencatat kes baharu harian tertinggi iaitu 960 kes, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan Covid-19 di negeri itu sebanyak 22,920 kes. - Bernama

Artikel Berkaitan: