Pengurus restoran didakwa kurung, takut, cederakan warga India

Pengurus sebuah restoran di Klang dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan mengurung, menakutkan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India, Selasa lepas. - Foto 123RF
Pengurus sebuah restoran di Klang dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas tiga pertuduhan mengurung, menakutkan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India, Selasa lepas. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang pengurus sebuah restoran di Klang dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat atas tiga pertuduhan iaitu mengurung, menakutkan dan mencederakan seorang lelaki warganegara India, Selasa lepas.

Bagaimanapun, B Selvendran, 33, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Majistret S. Mageswary.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama rakan yang masih bebas, telah menggunakan kekerasan memaksa warganegara India, Balamurugan Selvam sehingga menyebabkan mangsa dikurung dengan salah di sebuah kediaman di Bandar Bukit Tinggi, Klang tanpa kerelaan mangsa, mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, Selvendran didakwa bersama rakan yang masih bebas dengan niat telah menakutkan mangsa sama dengan mengatakan akan membunuh lelaki itu, mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa bersama rakan yang masih bebas, dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa sama dengan menumbuk pada bahagian badannya dan pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields di sini pada 2.45 petang, 13 April lepas.

Peguam Mishant Thiruchelvam yang mewakili tertuduh memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan bapanya sedang menerima rawatan di sebuah hospital kerana sakit jantung.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin untuk ketiga-tiga pertuduhan dan tertuduh juga dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai serta menetapkan 17 Mei untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen.

Artikel Berkaitan:

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Hanis Anisha Jamilludin.

Sebelum ini, tular sebuah rakaman video kamera litar tertutup berdurasi 19 saat, memaparkan tindakan beberapa individu bertindak menarik keluar dua lelaki warga India secara paksa dari dalam sebuah restoran di ibu kota. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN: 2 pekerja restoran dibawa lari sekumpulan lelaki