Guan Dee angkat sumpah Timbalan Menteri Persekutuan

Guan Dee. Foto Facebook Datuk Guandee kohoi
Guan Dee. Foto Facebook Datuk Guandee kohoi
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Senator Datuk Guan Dee Koh Hoi pada Jumaat mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Guan Dee yang juga Setiausaha Agung Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengangkat sumpah jawatan itu pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Sumpah Simpan Rahsia di Singgahsana Kecil, Istana Negara di sini.

Turut menyaksikan istiadat berkenaan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Hadir sama Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

Sementara itu, Guan Dee ketika ditemui selepas istiadat tersebut mengesahkan beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memberikan peluang ini kepada parti STAR untuk menyertai Kabinet (pentadbiran) Persekutuan,” katanya.

Guan Dee turut melahirkan aspirasi untuk meningkatkan semula sektor pelancongan iaitu antara sektor terkesan akibat Covid-19.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan pada Jumaat memaklumkan pelantikan Guan Dee sebagai Timbalan Menteri Persekutuan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong selaras dengan Fasal (1) Perkara 43A Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Beliau dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan Datuk Seri Dr Jeffry G Kitingan yang telah meletakkan jawatan selepas mengangkat sumpah sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah II merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan Sabah pada 29 September 2020. -Bernama