Komunikasi literasi kewangan penting

Tabung kecemasan harus diuruskan dengan bijak dengan mengutamakan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup. - Foto Sumber Internet
Tabung kecemasan harus diuruskan dengan bijak dengan mengutamakan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup. - Foto Sumber Internet
A
A
A

KETIKA negara melalui fasa pemulihan ekonomi secara beransur dengan program vaksin yang sedang dilaksanakan, pandemik Covid-19 terus mempamerkan hubungan saling bergantung antara sistem kewangan kita dan sektor lain dalam ekonomi.

Pandemik yang berterusan ini telah memberi kesan kepada ekonomi secara meluas dan negatif dari segi sosial, ekonomi dan kewangan. Ramai yang bertanya, “bilakah kami boleh kembali kepada masa sebelum pandemik?”

Namun hakikatnya, norma baru dengan prosedur operasi standard (SOP) memakai pelitup muka dan amalan penjarakan sosial akan berterusan walaupun seseorang telah menerima vaksin.

Kehilangan pekerjaan dan pelupusan perniagaan yang menjurus ke arah kenaikan kadar pengangguran mengingatkan kita betapa kritikalnya untuk pihak berkuasa dan kerajaan dalam mengambil langkah-langkah lebih proaktif, bukannya reaktif, untuk mengurangkan risiko sistemik.

Kewujudan sistem jaringan keselamatan kewangan yang kukuh dan berkesan adalah penting untuk mengurangkan risiko sistemik dan menggalakkan kestabilan sistem kewangan.

Di tahap institusi perbankan dan insurans, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) yang ditubuhkan pada tahun 2005 sebagai penginsurans deposit nasional melengkapi fungsi Bank Negara Malaysia (BNM) dan memupuk kerjasama erat dalam menjaga kestabilan kewangan negara.

PIDM, sebuah badan berkanun, merupakan sebahagian daripada jaringan keselamatan kewangan di Malaysia. PIDM menyumbang ke arah kestabilan sistem kewangan dengan mengukuhkan keyakinan awam terhadap sistem kewangan dan menggalakkan pengurusan risiko yang wajar.

Di tahap awam, PIDM mengutamakan dan melindungi pendeposit dengan memberi insentif kepada institusi ahli (bank dan penginsurans) yang mengamalkan pengurusan kewangan yang mantap.

Artikel Berkaitan:

Bagi memastikan kehidupan lestari rakyat, pelan komunikasi literasi kewangan yang mencapai lapisan rakyat harus dibangunkan oleh semua pihak, baik kerajaan, institusi kewangan, ahli institusi malah rakyat jelata.

Penyampaian mesej ‘bijak menguruskan wang’ harus dipergiatkan. Di masa majoriti rakyat hidup dalam keadaan ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sememangnya amat susah untuk berjimat.

Namun, masih ada caranya sekiranya ada kemahuan.

1. Kesesuaian masa. Keperluan berbelanja sememangnya lumrah manusia. Sekiranya ingin membeli barangan yang diidamkan, perlulah bertanya sama ada ianya merupakan masa yang sesuai sekiranya duit dalam poket atau dalam bank belum mencukupi.

Apakah mungkin, boleh tunggu sehingga sebulan dua sebelum membelinya?

2. Simpanan kecemasan. Tabung kecemasan harus diuruskan dengan bijak dengan mengutamakan perbelanjaan untuk kelangsungan hidup. Umpamanya, untuk membayar bil hospital atau menjaga kesihatan, sewa, makanan, keperluan anak. Jika dapat menyimpan RM1 sehari, tabung kecemasan akan menjadi RM90 dalam masa 3 bulan.

3. Utamakan perbelanjaan mengikut keperluan. Semasa berbelanja harus mengutamakan keperluan dari kemahuan. Bagus sekiranya dapat mengagihkan perbelanjaan mengikut kategori keperluan dan kemahuan. Kemudian, utamakan perbelanjaan yang dianggap penting. Kelebihan walaupun RM1 bolehlah ditabungkan.

Semua pihak dari tahap institusi mahupun tahap lapisan rakyat mesti bergerak senada demi meningkatkan daya tahan kewangan masing-masing. Daripada berbelanja kerana kemahuan, baik berbelanja kerana keperluan.

*Ivlynn Yap ialah Pengurus Besar, Komunikasi dan Perhubungan Awam, Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM)