PKP dilaksana di Sandakan

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilaksanakan di daerah Sandakan, Sabah berkuat kuasa 17 hingga 30 April ini, manakala PKP di daerah Tawau yang dijadualkan tamat pada Jumaat dilanjutkan sehingga 30 April.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga Khamis, sebanyak 46 kes baharu telah direkodkan dan secara kumulatifnya sebanyak 6,806 kes dilaporkan di daerah Sandakan.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan sebanyak 78 kes juga direkodkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti ini," katanya dalam kenyataan mengenai PKP Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) pada Khamis.

Mengenai pelanjutan PKP di Tawau, Ismail Sabri berkata, sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan kes aktif Covid-19 iaitu daripada 124 kepada 729 kes dalam tempoh 14 hari.

"KKM turut melaporkan banyak kes baharu dikesan dan 11 lokaliti di dalam daerah Tawau kini sedang dilaksanakan PKP Diperketatkan (PKPD)," katanya.

Mengenai status beberapa PKPD di Sarawak, Ismail Sabri berkata, PKPD di Kampung Binyu Lama, Kuching dan Kampung Binyu Baru di Samarahan ditamatkan pada Khamis, manakala di Kampung Baji, Sarikei serta Sungai Rassau, Batang Igan di Mukah berakhir Jumaat.

PKPD di Perumahan Kilang Sungai Tenegang, Kinabatangan, Sabah turut ditamatkan pada Jumaat seperti dijadualkan, katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching, Sarawak serta Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, Mukim Wakaf Bharu, Tumpat, Kelantan berkuat kuasa Jumaat sehingga 29 April 2021.

Artikel Berkaitan:

Mengenai PKPD di Pulapol Kuching dan Kuarters Kakitangan, Kuching, Ismail Sabri berkata, KKM telah melaksanakan 633 ujian saringan dan daripada jumlah itu, 123 kes positif Covid-19 telah dilaporkan selain berlaku penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan pelatih serta penghuni dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi.

Sementara di SMU (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung, beliau berkata, sehingga Rabu, KKM telah melakukan 113 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatifnya sebanyak 50 kes positif direkodkan selain terdapat penularan dalam kalangan penghuni sekolah dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Ismail Sabri turut mengumumkan PKPD di Sekolah Henry Gurney, Telok Mas, Melaka yang dijadualkan tamat pada Jumaat dilanjutkan sehingga 30 April setelah KKM melaksanakan 1,710 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 191 kes positif Covid-19 direkodkan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 55 individu ditahan kerana ingkar SOP PKPB dan PKPP pada Rabu dengan 54 dikenakan kompaun dan seorang direman. - Bernama