Pemain KDA FC terima suntikan vaksin Covid-19

Kapten pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar ketika diberikan suntikan vaksin dos pertama Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Kedah pada Isnin. FOTO: Ihsan Facebook KDA FC
Kapten pasukan KDA FC, Baddrol Bakhtiar ketika diberikan suntikan vaksin dos pertama Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Kedah pada Isnin. FOTO: Ihsan Facebook KDA FC
A
A
A

ALOR SETAR - Pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) menerima suntikan vaksin dos pertama Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Kedah sebagai persediaan awal bagi memastikan kesihatan pemain terjamin.

KDA FC dalam satu kenyataan berkata, menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu, semua pegawai dan pemain pasukan Liga Super Kedah serta pengurusan disenaraikan sebagai penerima vaksin Sinovac.

Menurut kenyataan itu, dos seterusnya akan dilakukan selepas tempoh matang 21 hari.

“Proses vaksinasi itu diadakan di klinik kesihatan membabitkan semua pemain, jurulatih dan pegawai pasukan pada Isnin.

"Pengurusan KDA FC mengambil langkah proaktif itu dengan mendaftarkan pasukan KDA FC sebagai penerima Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, suntikan itu bagi memastikan keserasian kesihatan pemain dalam tempoh vaksinasi selaras dengan keperluan untuk merentas negara sekitar Jun depan bagi kejohanan Piala AFC 2021.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif KDA FC, Khamal Idris Ali bersyukur program berkenaan berjaya dilaksanakan.

“Terima kasih buat semua warga petugas Klinik Kesihatan Kuala Kedah yang memastikan kelancaran penerimaan vaksin kepada pasukan kami,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengikut perancangan KDA FC bakal berentap dalam Piala AFC untuk zon ASEAN di Singapura pada 22 hingga 28 Jun depan.